PENGARAH Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard menafikan dakwaan atlet kebangsaan diancam dengan ugutan akan disingkirkan daripada program kerana memilih untuk tidak menjalani latihan di bawah sistem berpusat.
Mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan beberapa atlet melakukan boikot dan mendakwa wujud salah laku berkaitan peranannya, Ballard menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak benar sama sekali dan berkata tiada sebarang usaha dilakukan untuk mengesahkan maklumat itu dengannya sebelum diterbitkan.
“Menerbitkan kenyataan tidak disahkan yang membayangkan penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam peranan penting yang diamanahkan untuk pembangunan dan perlindungan atlet muda adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah. Saya sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perlindungan imej awam dan reputasi profesional saya.
“Tugas saya sebagai Pengarah Teknikal adalah untuk melaksanakan struktur berprestasi tinggi sejajar dengan jangkaan antarabangsa, menjaga kebajikan atlet serta memastikan tahap profesionalisme di semua peringkat. Keputusan berkaitan penglibatan atlet dibuat melalui perundingan yang berstruktur bersama MA dan Majlis Sukan Negara (MSN), bukan melalui ugutan atau budi bicara peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ballard turut menjelaskan bahawa MA sejak dahulu menyokong latihan yang tidak berpusat dan secara rasmi mencadangkan model berkenaan kepada Jawatankuasa Kerja Program pada 2023 dengan matlamat mewujudkan hab latihan mengikut wilayah, memberikan autonomi kepada atlet elit serta mengukuhkan kerjasama antara jurulatih dan atlet.
Beliau berkata, sekiranya seseorang atlet memilih untuk tidak menjalani latihan berpusat, MA menghormati dan menyokong keputusan berkenaan asalkan struktur latihan itu berasaskan prestasi, telus dan selaras dengan tanggungjawab atlet di bawah syarat penglibatan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
“Pada 2024, Jawatankuasa Kerja Program secara rasmi telah meluluskan peluasan sokongan kepada atlet yang menjalani latihan di negeri lain dan di luar negara, di bawah seliaan jurulatih yang bertauliah. Ini mencerminkan komitmen MA terhadap penyertaan berasaskan prestasi dan bukannya sekatan berdasarkan lokasi. Fleksibiliti adalah dialu-alukan tetapi ia mesti beroperasi dalam rangka akauntabiliti, pelaporan yang jelas dan pengawasan,” katanya.
Menyentuh pengunduran jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim, Ballard berkata, pihak MA mahupun MSN tidak menerima sebarang notis rasmi berhubung peletakan jawatannya untuk memegang jawatan baharu di negeri lain.
Beliau berkata, pengunduran secara tiba-tiba itu telah mewujudkan lompang dalam kejurulatihan, yang telah ditangani oleh MA melalui pelaksanaan struktur latihan interim di bawah penyeliaannya, dengan sokongan jurulatih pecut kebangsaan lain bagi memastikan kesinambungan latihan untuk atlet yang terjejas.
“MA telah memulakan pencarian di peringkat antarabangsa dan tempatan bagi mengisi struktur kejurulatihan yang telah disusun semula, termasuk jawatan Ketua Jurulatih Antarabangsa – Pecut. Calon-calon yang sesuai telah dikenal pasti dan MA telah memulakan rundingan bersama MSN mengenai terma kontrak dan pembiayaan.
“Malangnya, kelewatan dalam proses pelantikan akhir telah menyebabkan bukan sahaja penarikan diri jurulatih pecut tempatan pilihan, malah dua calon antarabangsa yang sangat berwibawa dalam disiplin lain turut menarik diri,” katanya.
Mengenai acara padang, Ballard mengakui ketiadaan jurulatih khusus untuk acara baling tukul besi sejak Sukan Asia 2022 dan menegaskan bahawa MA telah berulang kali membangkitkan isu berkenaan kepada MSN.
Justeru, beliau menghormati keputusan Jackie Wong untuk menjalani latihan di China dan meneruskan pengalaman kompetitifnya yang luas ke dalam bidang kejurulatihan di samping objektif latihannya.
Bagi memperkukuh kapasiti negara dalam disiplin berkenaan, MA telah menjemput pemenang pingat Olimpik 1992 dan jaguh baling tukul besi dari Cuba untuk mengendalikan klinik teknikal tahun lepas dan menjadi hasrat MA sejak suku keempat 2024 untuk melantik beliau secara rasmi sebagai jurulatih kebangsaan.
Ballard berkata, sejak memulakan tugas sebagai Pengarah Teknikal pada Ogos 2023, tumpuannya adalah untuk membina persekitaran berprestasi tinggi yang berteraskan akauntabiliti, kebajikan atlet dan kemajuan teknikal.
Media sebelum ini melaporkan beberapa pelari pecut memilih memboikot program latihan Ballard sepanjang bulan lepas dan mendakwa menerima ugutan untuk disingkirkan daripada program sekiranya menyuarakan rasa tidak puas hati yang tegas dinafikan jurulatih dari Australia itu. – Bernama