aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard menafikan dakwaan beberapa pelari pecut kebangsaan melancarkan mogok sebagai protes terhadap gaya kejurulatihannya.
Ballard dalam satu kenyataan menjelaskan, ketiadaan jurulatih utama acara pecut negara (Mohd Poad Md Kassim) mendorong beliau dilantik sebagai jurulatih interim, bagi memastikan kelangsungan latihan atlet sepanjang tempoh peralihan.
Beliau berkata, sebenarnya tiada sekatan dikenakan terhadap atlet jika mereka memilih menjalani latihan di luar program latihan berpusat.
Badan induk olahraga negara itu menyokong sepenuhnya konsep latihan tidak berpusat, yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kerja Program seawal tahun 2023.
“Konsep latihan tidak berpusat ini sudah lama menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan MA, dan ia secara rasmi dicadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Program pada awal 2023.
“Langkah ini bertujuan memberikan fleksibiliti, membolehkan atlet berkembang dalam persekitaran yang paling sesuai dengan keperluan dan matlamat prestasi individu mereka,” kata Ballard hari ini.
Mengulas laporan yang mendakwa Ballard mengugut akan menggugurkan atlet daripada program sekiranya tidak mengikuti program ditetapkan, beliau menafikan perkara itu.
Ballard menjelaskan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menggugurkan atlet.
“Tanggungjawab saya adalah untuk menyelia program jurulatih olahraga. Dakwaan bahawa saya boleh mengancam kedudukan mana-mana atlet dalam program ini adalah tidak benar.
“Atlet seperti Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli sememangnya boleh memilih untuk kembali berlatih dengan bekas jurulatih mereka, Mohd Poad, dan itu tidak menjadi masalah,” katanya.
Ballard mengakui kekurangan jurulatih yang ada menjejaskan struktur sedia ada, dengan pengurangan daripada sembilan kepada enam jawatan.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mengadakan pertemuan dengan MA serta beberapa atlet pecut kebangsaan yang dilaporkan memboikot latihan dikendalikan Pengarah Teknikal, Ballard sejak sebulan lalu.
Ketua pengarahnya, Jefri Ngadirin berkata, pertemuan berkenaan bakal diadakan paling cepat pada minggu depan bagi mendapatkan maklumat terperinci daripada kedua-dua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd