KUALA LUMPUR: Legenda badminton tanah air, Datuk Wira Lee Chong Wei menasihatkan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar membuktikan kemampuan terlebih dahulu menerusi pencapaian cemerlang sebelum membuat permintaan kenaikan gaji.
Menurut beliau, jika prestasi ditunjukkan benar-benar memberangsangkan, beliau yakin BAM tidak akan menolak untuk mempertimbangkan permintaan tersebut demi kepentingan bersama.
Namun begitu, ujar Chong Wei, terdapat segelintir pemain yang masih gagal menunjukkan prestasi konsisten, tetapi tetap mahu menikmati imbuhan yang tidak setimpal dengan pencapaian dalam kejohanan yang disertai.
“Saya tak nak cakap pemain tak boleh minta gaji tinggi, boleh. Tapi yang penting, mereka perlu buktikan terlebih dahulu melalui keputusan yang baik untuk persatuan.
“Sekiranya boleh, saya yakin itu tidak akan jadi masalah. Tapi saya nak cakap, pemain sekarang pun ada sedikit manja dalam hal ini. Kalau dia ada keputusan (positif) dan dia minta gaji tinggi, saya fikir persatuan akan bantu pemain ini melalui penaja.
“Tapi sekarang ada pemain belum sampai tahap itu, tapi sudah minta gaji tinggi. Kalau tak dapat, terus nak jadi pemain profesional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha KBS, Dr. K. Nagulendran; dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Mengulas lanjut, Chong Wei turut berharap kepimpinan baharu BAM yang bakal dibentuk kelak dapat mengambil langkah positif dalam menyemak kembali isu gaji pemain agar lebih selaras dengan keperluan semasa.
“Kita harap apabila BAM beralih kepada struktur baharu nanti dan ada ketua baharu, dia boleh bawa perubahan ke tahap yang lebih baik untuk BAM dan berikan yang terbaik kepada atlet semula.
“Saya harap BAM akan beri fokus kepada penyediaan fasiliti, khidmat sokongan dan program pembangunan atlet yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Baru-baru ini, timbul desas-desus mengenai permintaan kenaikan gaji oleh beberapa pemain BAM, termasuk pasangan beregu wanita negara Pearly Tan–M. Thinaah.
Susulan itu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam memberi ruang kepada pemain terbabit untuk menilai semula hala tuju mereka sama ada mahu kekal bersama BAM atau bergerak sebagai pemain profesional.-UTUSAN