JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengakui tidak boleh duduk diam, sebaliknya sentiasa dahagakan suasana latihan keras kerana ia merupakan rutin sejak 20 tahun lalu.
Atlet berusia 37 tahun itu yang bergerak secara profesional mengakui selepas Sukan Olimpik Paris 2024, fizikal dan fikirannya sentiasa terbayang aktiviti harian sebagai seorang pelumba.
Mohd Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe berkata, situasi tersebut berlarutan selama beberapa bulan selepas Ogos tahun lalu dan ia mendorong beliau berfikir semula untuk kembali ke saingan kompetitif.
“Saya memang tidak senang duduk. Setiap hari apabila bangkit daripada tidur, saya sentiasa bertanya pada diri sendiri, apakah yang saya hendak lakukan.
“Tidak dinafikan walaupun sudah berbulan-bulan meninggalkan basikal, tetapi fizikal dan mental saya sentiasa berbalik kepada asal. Saya masih bangkit awal sekitar jam 4.30 pagi seperti biasa.
“Kalau tidak kayuh basikal saya lakukan aktiviti berjalan kaki dan pergi ke gimnasium sekali atau dua kali seminggu,” katanya.
Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman pada Sabtu mengumumkan haluan berbeza bagi meneruskan karier berbasikalnya apabila bakal bergerak secara profesional.
Menyentuh mengenai reaksi Datin Athiah Ilyana Abd Samat apabila mengetahui hasratnya untuk kembali aktif di trek, beliau memberitahu, perasaan bercampur baur menyelubungi isteri tersayang itu.
“Secara jujur tidak gembira, tetapi ada berasa gembira juga sebab dia tahu minat dan semangat serta tahu apa yang saya nak,” katanya.
Mengulas mengenai skuad dan barisan kejurulatihan yang bakal bersama dengan misi profesional tersebut, Azizulhasni mengakui sudah memiliki pasukan sendiri iaitu Team Azizul.
Beliau berkata, ia bukan satu team yang besar, namun dengan sokongan mereka serta barisan penaja usaha untuk bergerak secara profesional mampu diterjemahkan dengan baik dan tersusun.
Malah tambahnya, selain John Beasley, beliau juga mempunyai beberapa jurulatih peribadi dan turut mempunyai program latihan sendiri yang dirangka dengan sistematik.
“Saya dan Beasly mempunyai pelan latihan yang komprehensif untuk tempoh tiga bulan hingga setahun hasil berbincang secara bersama.
“Begitu juga latihan di trek dan kecergasan fizikal, saya lakukan sendiri. Cuma apabila tiba kejohanan atau temasya kami akan duduk berbincang (bersama Beasly) untuk merangka program khusus,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Sabtu turut mengumumkan geran khas RM200,000 bagi menyokong Mohd Azizulhasni meneruskan karier profesional bagi tahun 2025 dan 2026.
Ia merangkumi pengurusan jurulatih, latihan dan kejohanan serta peralatan pertandingan, perubatan dan sains sukan.