Hasrat Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC untuk menyertai saingan peringkat Asia musim depan tidak kesampaian apabila permohonan mereka untuk mendapatkan Lesen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025–2026 ditolak oleh First Instance Body (FIB).
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan, Terengganu dan Kedah merupakan dua daripada enam kelab Liga Super yang mengemukakan permohonan bagi Lesen Pelesenan Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim 2024–2025.
“Enam kelab Liga Super yang memohon Lesen Pelesenan Kelab AFC bagi kitaran kali ini ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC.
“Namun, hanya empat kelab berjaya mendapatkan lesen berkenaan iaitu JDT, Selangor, Sabah dan Penang, manakala dua lagi kelab Terengganu dan Kedah gagal dalam permohonan,” katanya pada Selasa.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kelab yang berjaya memperoleh lesen serta penghargaan kepada Terengganu dan Kedah atas usaha dan komitmen mereka dalam melengkapkan proses permohonan.
“FIB mengucapkan tahniah kepada semua kelab yang berjaya serta berterima kasih kepada Terengganu dan Kedah atas kesungguhan mereka. Kami berharap lebih banyak kelab akan tampil memohon Lesen AFC pada masa akan datang demi mengekalkan tahap kompetitif Liga Super,” ujarnya.
OR