'Ada anak saya dalam kotak ini, tolong jaga anak saya'

'Ada anak saya dalam kotak ini, tolong jaga anak saya'


am@hmetro.com.my

Beaufort: Tergamak seorang ibu sanggup memasukkan bayi perempuannya dalam kotak sebelum ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Brunei, Membakut, pagi hari ini.

Bayi malang dianggarkan berusia 36 minggu itu ditinggalkan dengan pesanan ‘ada anak saya dalam kotak ini’ ‘tolong jaga anak saya, semoga rezeki dimurahkan’ ditulis di penutup kotak.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, polis menerima panggilan daripada seorang saksi mengatakan ada bayi ditinggalkan di dalam kotak dengan nota ditulis atas kotak.

Katanya, hasil siasatan awal, saksi yang terjaga pada 5.40 pagi tersedar sebuah motosikal jenis tidak pasti dengan nombor pendaftaran bermula huruf V warna putih berlegar di hadapan rumah namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Saksi sempat mengintai di tingkap dan penunggang motosikal terbabit terus beredar.

“Pada jam 6.10 pagi, ketika ingin keluar dari rumah untuk bekerja, dia ternampak sebuah kotak di hadapan pintu rumah bersama nota.

“Selepas diperiksa, dia menemui menemui bayi bersama tuala dan limau nipis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bayi itu dihantar ke Wad Kanak-kanak Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Bayi perempuan itu dianggarkan berusia 36 minggu dan sampel darah sudah diambil oleh pihak hospital untuk tujuan ujian paterniti.

“Polis kini mengesan ibu bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di talian 012-4175332 atau mana-mana balai polis berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top