‘Saya mahu menangis tetapi tidak boleh berbuat apa-apa’

‘Saya mahu menangis tetapi tidak boleh berbuat apa-apa’


PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Milos Gordic, mendedahkan bahawa beliau akan pulang ke negaranya tanpa menerima sebarang bayaran selepas tamat kempen Liga Super yang mengecewakan buat pasukan Sang Kenari.

Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, pemain import itu meluahkan kekecewaan terhadap situasi kewangan yang dialaminya.

“Saya pulang ke negara saya tanpa wang. Saya mahu menangis tetapi tidak boleh berbuat apa-apa…” dakwa Gordic dengan nada terkilan.

Biarpun dipercayai berdepan tekanan emosi dan masalah kebajikan, Gordic tetap menzahirkan rasa terima kasih kepada penyokong setia Hijau Kuning yang terus memberikan sokongan sepanjang musim.

“Saya sangat menghargai layanan dan sokongan yang diberikan penyokong Kedah. Mereka luar biasa,” katanya.

Kedah menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-11 selepas mencatat enam kemenangan, enam seri dan 12 kekalahan daripada 24 perlawanan, selain dipotong tiga mata pada awal musim.

Kekalahan 0-3 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam aksi terakhir liga menutup kempen yang penuh kekecewaan buat kelab utara tanah air itu.



Source link

OR

Scroll to Top