50 hari mogok lapar dalam penjara

50 hari mogok lapar dalam penjara


Kaherah: Aktivis Mesir-Britain Alaa Abdel Fattah jatuh sakit selepas lebih 50 hari mogok lapar dalam penjara, menurut kenyataan keluarganya pada Selasa.

Aktivis terkenal itu, yang menghabiskan sebahagian besar dekad lalu di penjara Mesir, mengalami muntah berulang kali sepanjang minggu lalu, menurut sepucuk surat yang ditulis kepada keluarganya pada Sabtu.

Abdel Fattah memulakan mogok lapar pada 1 Mac, selepas mengetahui bahawa ibunya, Laila Soueif, dimasukkan ke hospital di London akibat mogok lapar demi memperjuangkan pembebasannya.

Sejak itu, Abdel Fattah hanya mengambil teh herba, kopi hitam dan garam rehidrasi, menurut keluarganya yang mengatakan beliau kini dirawat oleh doktor penjara atas kerosakan yang disyaki pada perut dan usus.

Ibunya, Soueif – yang kini hanya mengambil 300 kalori sehari – melakukan mogok lapar selama 205 hari, sejak tarikh sepatutnya Abdel Fattah dibebaskan selepas menjalani hukuman lima tahun atas dakwaan menyebarkan berita palsu.

Dalam surat kepada keluarganya, Abdel Fattah menulis bahawa radang pada perutnya semakin teruk dan ubat yang diberikan menyebabkan beliau pening serta menjejaskan penglihatannya.

Soueif, 68, tidak makan makanan pejal sejak September. Beliau dimasukkan ke hospital di London pada Februari lalu akibat kadar gula darah yang terlalu rendah dan mengancam nyawa.

Pada Mac, beliau beralih kepada mogok lapar separa, hanya mengambil 300 kalori sehari melalui makanan tambahan cecair, selepas Perdana Menteri Keir Starmer berkata, beliau mendesak pembebasan anaknya dalam satu panggilan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

Dalam satu hantaran Facebook pada Ahad, Soueif berkata, beliau amat bimbang tentang kesihatan anaknya, sambil menambah bahawa anaknya “sepatutnya bersama mereka, bukan di dalam penjara dan sedang mogok lapar.”

Pada Selasa, adik perempuan Abdel Fattah, Sanaa Seif – yang juga bekas tahanan politik – berkata: “Ibu dan abang saya benar-benar mempertaruhkan tubuh mereka.”

“Saya sentiasa takut kita sedang menghampiri satu tragedi,” tambahnya sambil menggesa Starmer agar “melakukan segala yang termampu untuk membawa Alaa pulang kepada kami.”

Abdel Fattah, 43, tahanan politik paling terkenal di Mesir, pernah menjalani mogok lapar pada 2022.

Ketika itu, beliau hanya mengambil 100 kalori sehari selama tujuh bulan dan mencuri perhatian dunia ketika Sidang Kemuncak Iklim PBB yang dihoskan oleh Mesir.

Kumpulan hak asasi manusia telah menyeru Sisi agar mengampunkan beliau.

Pada 2022, Sisi melancarkan semula jawatankuasa pengampunan presiden yang telah membebaskan beberapa tahanan politik berprofil tinggi, termasuk peguam Abdel Fattah, Mohamed al-Baqer.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top