Remaja mengaku tidak bersalah memandu berbahaya sebabkan tiga kematian

Remaja mengaku tidak bersalah memandu berbahaya sebabkan tiga kematian


SEREMBAN: Seorang remaja lelaki yang merupakan pemandu kereta dalam nahas mengakibatkan tiga kematian di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Heights di sini Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Remaja berusia 17 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah atas dua pertuduhan terhadapnya iaitu memandu secara berbahaya sehingga mengorbankan tiga nyawa serta memandu tanpa lesen.

Mengikut pertuduhan, remaja yang ketika itu sebagai pemandu kereta jenis Honda Jazz dituduh memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15;  Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Bagi pertuduhan pertama, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan. 

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 (kesalahan memandu tanpa lesen) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM300 hingga RM2, 000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000. 

Namun, tertuduh diwakili peguam, Johan Radzi itu merayu supaya kadar berkenaan dikurangkan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,300 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis terdekat, sekali setiap bulan. Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 21 Mei depan. 

Sebelum ini media melaporkan tiga remaja lelaki yang merupakan penunggang dan pembonceng dua buah motosikal meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di ketika lampu isyarat merah dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran Taman Matahari Height, Senawang, Seremban, 6 Mac lalu.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top