Kalau dia nekad bercerai, saya akur – Edika Eusof

Kalau dia nekad bercerai, saya akur – Edika Eusof


KUALA LUMPUR: Pelakon, Edika Eusof mahu mempertahankan perkahwinan meskipun isteri, Nor Hidayah nekad untuk meneruskan  perceraian.

Bagaimanapun, Edika, yang tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pukul 10 pagi tadi bagi sebutan semula kes cerainya, mengutamakan kebahagiaan dan kemahuan Nor Hidayah untuk kebaikan bersama.

“Penceraian ini permintaan isteri. Dia yang failkan. Tapi saya akan cuba selamatkan rumah tangga. Itu pun kalau dia nak. Kalau tidak, saya bagi apa yang dia mahukan.

“Tiada siapa yang mahukan perceraian. Kami bina rumah tangga selama 22 tahun. Anak-anak pun tak mahu perkara ini.

“Kalau dia nekad juga untuk bercerai, saya kena akur dan menjadi kawan. Sebab kalau kita tak lunaskan permintaan dia, dan pada masa sama, sudah tak ada kasih sayang antara kami, buang masa juga.

“Perceraian bukan lagi di tangan lelaki semata-mata. Apa pun saya mahu dia gembira. Bagi apa yang dia mahukan,” katanya.

Pada 24 Mac lalu peguam syarie mewakili Nor Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim mengesahkan wanita itu sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya pada pertengahan Februari lalu.

Menurut Yazid, mahkamah menetapkan esok sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama pada bulan lalu.

Dalam masa yang sama, Edika juga memaklumkan telah beberapa kali cuba menghubungi isteri untuk berbincang namun permintaan itu diabaikan.

“Ini pun saya sudah lambatkan (prosiding mahkamah) satu bulan. Saya selalu minta isteri berbincang dahulu, tapi dia tidak endahkan, abaikan WhatsApp saya,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, pelakon filem Maria Mariana itu menuntut agar proses perceraian ini juga dilaksanakan dengan membabitkan pandangan pakar kesihatan mental bagi menililai kewarasan isterinya yang membuat keputusan untuk bercerai.

“Saya telah minta mahkamah hadirkan pakar psikologi untuk menilai kes ini kerana tiada yang serius. Hanya melibatkan isu mental dan emosi isteri. Saya datang ini pun dengan membawa report kesihatannya, yang mana dia menghidap Streptococcal meningitis yang mengakibatkan dia menghadapi gangguan emosi.

“Apa pun, keputusan mahkamah yang tentukan. Kita hanya doakan yang terbaik. Saya dahulukan kebahagiaan dan permintaan dia,” jelasnya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top