CUEPACS bantah Skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga

CUEPACS bantah Skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyuarakan kebimbangan dan ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan Skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga (PPH) yang berkhidmat di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat berkata, PPH sudah berkhidmat selama 18 tahun sejak 2008 di bawah sistem Contract For Service namun kini dicadangkan untuk ditukarkan kepada Skim MySTEP iaitu diturunkan gred tanpa jaminan kestabilan pekerjaan dan faedah kebajikan yang sewajarnya.

Menurutnya, kepentingan PPH iaitu mereka memainkan peranan penting dalam pemantauan pergerakan harga 480 jenis barangan (Stock Keeping Unit – SKU) di seluruh negara.

“Selain itu, mereka terbabit secara langsung dalam program utama kerajaan antaranya Program Pengedaran Barang Perlu, Jualan RAHMAH MADANI, Kempen Beli Barangan Malaysia, Promosi aplikasi Price Catcher dan Advokasi kepenggunaan kepada masyarakat.

“Tugas ini amat penting dalam memastikan kestabilan harga barang dan membendung manipulasi harga yang boleh membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada majlis Sambutan Hari Raya di Chendering di sini, hari ini.

Menurutnya, isu dan kebimbangan iaitu menjelang tahun 2025, status kontrak PPH akan mencapai 18 tahun tanpa sebarang kenaikan tangga gaji mahupun peningkatan taraf jawatan.

Namun, cadangan KPDN untuk menukar skim perjawatan kepada MySTEP membangkitkan beberapa isu utama iaitu Skim MySTEP hanya menawarkan kontrak jangka pendek yang tidak menjamin kestabilan pekerjaan.

Beliau berkata, PPH akan kehilangan faedah seperti cuti rehat dan kemudahan perubatan yang dinikmati pegawai kerajaan lain.

Menurutnya, selain itu PPH tidak akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim MySTEP, menyebabkan mereka tidak mempunyai simpanan persaraan dan perlindungan keselamatan sosial.

“Majoriti PPH mempunyai kelayakan di peringkat ijazah dengan gaji sekitar RM1,500 sebulan, dan Skim MySTEP tidak menjamin peningkatan pendapatan.

“Keadaan ekonomi semasa yang mencabar akan memberikan kesan besar kepada PPH, terutama yang telah berkeluarga dan mempunyai tanggungan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh 18 tahun perkhidmatan, pelbagai cadangan dikemukakan bagi memastikan PPH mendapat status perjawatan yang lebih stabil, termasuk kenaikan taraf kepada sekurang-kurangnya Contract of Service tetapi tiada tindakan konkrit diambil.

Katanya, CUEPACS dengan tegas membantah pelaksanaan Skim MySTEP kepada PPH kerana ia akan menghakis kestabilan pekerjaan serta hak kebajikan mereka.

“Kami menuntut agar PPH diberikan status perjawatan tetap atau sekurang-kurangnya dinaik taraf kepada Contract of Service.

“Gaji PPH perlu dikaji semula dengan kenaikan yang selaras dengan peningkatan kos sara hidup selain PPH diberikan kemudahan cuti dan perubatan seperti penjawat awam lain.

“PPH diberikan hak caruman KWSP dan Perkeso bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan sosial dan simpanan persaraan yang mencukupi,” katanya.

Adnan berkata, CUEPACS menyeru kerajaan agar segera menilai semula keputusan pelaksanaan Skim MySTEP kepada PPH dan mengambil langkah proaktif dalam memperjuangkan kebajikan serta kestabilan pekerjaan mereka.

Menurutnya, PPH sudah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama hampir dua dekad dalam memastikan kestabilan harga barang di negara ini. Justeru, mereka wajar diberikan pengiktirafan dan jaminan kerjaya yang lebih baik sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.

Katanya, CUEPACS menegaskan bahawa sebarang bentuk perubahan dalam status perjawatan PPH mestilah mengambil kira kepentingan kebajikan pekerja termasuk jaminan pekerjaan, kenaikan gaji, faedah kebajikan serta perlindungan KWSP dan Perkeso.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top