Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan beliau dibayar bagi menjayakan persembahan sempena program Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.
Siti menerusi Instagram Story (IGs) berkongsi mengenai rasa kesal dan tuduhan yang dilemparkan mengenai penampilannya di majlis terbabit.
Beliau menjelaskan kehadirannya ke majlis itu adalah sebagai tetamu, bukan artis yang diundang secara rasmi untuk menjayakan persembahan.
“Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” tulisnya.
Menurut penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu lagi, pencerahan perlu dibuat supaya fitnah yang tersebar tidak berpanjangan.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam.
“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran, saya datang sebagai tetamu dan saya menyanyi dengan rela hati.
” Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama dan gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” tegasnya.
Terdahulu menerusi beberapa foto yang dimuat naik di akaun Facebook (FB) Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, antara artis yang dijemput menghiburkan tetamu selain Siti adalah Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
© New Straits Times Press (M) Bhd