KDA FC belum ‘berkubur’, usaha rekrut Quaresma musim depan

KDA FC belum ‘berkubur’, usaha rekrut Quaresma musim depan


KELAB bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa mereka masih berusaha keras untuk terus bersaing di pentas Liga Super, dan kini sedang dalam rundingan bagi mendapatkan khidmat legenda bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma, sebagai pemain baharu bagi musim 2025/2026.

Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, usaha membawa masuk legenda bola sepak Portugal itu telah dirancang sejak Mac lalu dengan beberapa siri perbincangan melibatkan pihak penaja luar negara.

“KDA FC masih ada ruang dan peluang untuk terus bersaing. Kami sedang berusaha mendapatkan Quaresma dengan sokongan daripada penaja tertentu.

“Mereka akan menanggung semua perbelanjaan pemain jika beliau bersetuju menyertai pasukan,” katanya.

Mohd Daud mengakui bahawa rundingan ini menjadi penghormatan buat Sang Kenari yang mendapat perhatian penaja luar negara yang berminat untuk menyokong kelab itu.

Ujarnya, KDA FC masih berusaha memastikan kelangsungan pasukan dan membina skuad yang lebih mantap bagi musim baharu.

“Kami telah berbincang dengan beberapa pihak penaja bagi menjadikan Quaresma sebahagian daripada skuad KDA FC musim depan. Dengan persetujuan penaja, kami berharap dapat membawa nama besar ini ke dalam pasukan,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa KDA FC sedang giat memastikan syarat perlesenan untuk musim baharu dapat dilengkapkan, meskipun berdepan kekangan dana dan masa.

Katanya, KDA FC berharap agar penyokong terus memberikan sokongan dalam usaha pengurusan menyelamatkan kelab.

“Saya faham bahawa ramai yang mula membuat tanggapan bahawa KDA FC sudah ‘terkubur’, tetapi selagi ada usaha, kami akan berjuang untuk kelangsungan kelab ini.

“Dengan bantuan dan sokongan daripada anda semua, kami yakin beban yang kami pikul akan menjadi lebih ringan,” tambahnya.

Beliau turut menyeru agar penyokong hadir ke Stadium Darul Aman pada 3 Mei ini, bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia, yang turut menampilkan penampilan khas Ricardo Quaresma.



Source link

OR

Scroll to Top