Turun kelas motivasi catat 9A

Turun kelas motivasi catat 9A


KESIBUKAN latihan yang dihadapi atlet skuasy Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan, Sabrina Nur Batrisya Shamsul Baharin bukan halangan mencatat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lebih mengecewakan, pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Faris Petra itu diturunkan kelas selepas pencapaian kurang memberangsangkan dalam percubaan SPM kerana kesibukan menjalani latihan.

Menurut Sabrina Nur Batrisya, ketika rakan-rakannya sedang menghabiskan semua topik dan bersedia untuk menghadapi percubaan SPM, dia terpaksa menghadiri latihan pusat sebagai persediaan mewakili Kelantan ke Sukma 2024 pada acara beregu wanita dan beregu campuran.

“Sebaik acara Sukma berakhir, saya hanya ada tempoh sebulan mengulangkaji mata pelajaran untuk percubaan SPM.

“Malangnya keputusan percubaan mengecewakan dan saya pula hanya mempunyai tempoh tiga bulan untuk bersedia menghadapi peperiksaan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun gadis itu bersyukur semua pihak di SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dan Persatuan Skuasy Kelantan memberi kebenaran keluar menjalani sesi latihan harian di Kompleks Skuasy Kelantan.

Sabrina Nur Batrisya (tengah) bersama rakan-rakan skuasy yang sentiasa memberi sokongan.

Sabrina Nur Batrisya (tengah) bersama rakan-rakan skuasy yang sentiasa memberi sokongan.

Jelasnya, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan secara kendiri dengan konsisten pada setiap waktu lapang.

Selain itu, Sabrina Nur Batrisya turut memberi fokus ketika sesi pembelajaran di dalam kelas bersama guru subjek.

“Saya akan melupakan seketika bebanan akademik apabila tiba sesi latihan pada setiap petang,” katanya.

Tidak cukup dengan usaha itu, atlet skuasy ini juga nekad berdisiplin dan mengikut setiap aktiviti yang sudah ditetapkan dalam jadual peribadi termasuk menghadiri kelas tuisyen Matematik Tambahan.

“Alhamdulillah ibu bapa saya menjadi tempat meluahkan masalah yang dihadapi dan mereka sentiasa memberi motivasi dengan kata-kata semangat untuk meneruskan usaha,” katanya.

Katanya lagi, solat tahajud juga antara faktor kejayaannya menjawab peperiksaan dengan tenang.

“Terima kasih juga kepada pihak sekolah yang menetapkan waktu supaya pelajar dapat menunaikan solat sunat hajat pada setiap solat fardu yang menambah keberkatan untuk berjaya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top