Ammarul (kanan) mencatat kemenangan TKO semasa membuat penampilan sulung di pentas Byon Madness, di Indonesia.
PETARUNG profesional negara, Ammarul Shafiq Ubaidillah menegaskan bahawa pentas ONE Championship bukanlah satu-satunya laluan untuk atlet tempur Malaysia mengukir nama di persada antarabangsa.
Sebaliknya, menurut anak jati Gombak itu, peluang untuk menyerlah di pentas dunia terbuka luas menerusi pelbagai platform lain seperti World Kickboxing Network (WKN), K-1, Glory, UFC dan kejohanan Muay Thai antarabangsa.
“ONE Championship bukan segala-galanya. Banyak lagi promosi lain yang hebat seperti K-1, Glory, UFC dan WKN.
“Namun mungkin Malaysia terlalu menumpukan kepada ONE, sedangkan realitinya ramai petarung dari negara luar berjaya melalui platform lain.
“Saya percaya rezeki itu luas dan kita harus terbuka kepada apa sahaja laluan yang ALLAH tentukan,” katanya kepada media di Bukit Jalil pada Selasa.
Ammarul, 23, mencuri tumpuan baru-baru ini selepas menundukkan wakil tuan rumah, Laka Sasongko menerusi kemenangan technical knockout (TKO) dalam aksi Byon Madness di Indonesia.
Dalam pada itu, Ammarul tidak menolak kemungkinan untuk beraksi di pentas ONE Championship jika peluang itu hadir pada masa akan datang.
“Jika sampai waktunya, saya akan pergi. Buat masa ini, saya menerima beberapa tawaran daripada promosi MMA dan kickboxing. Kita lihat bagaimana perkembangan seterusnya,” katanya.
Ammarul bukan asing dalam arena sukan tempur apabila telah meraih beberapa gelaran di peringkat antarabangsa.
Ia termasuk muncul juara dunia IFMA Grand Slam 2022, lima kali juara kebangsaan Muay Thai dan dua kali juara kebangsaan kickboxing.
Mengulas lanjut, Ammarul kini memberi fokus penuh bagi menghadapi Kejohanan Muay Thai Piala TYT 2025 yang akan berlangsung di Kuching Waterfront, Sarawak pada 3 Mei ini.
Petarung tinggi lampai itu dijadualkan berdepan lawan dari England, Corey Duffy.