Pearly-Thinaah memberikan tentangan sengit sebelum akur kepada pengalaman Nami -Shida di Xiamen – Foto: BAM
HASRAT skuad badminton negara untuk menamatkan dominasi Jepun dalam Piala Sudirman tidak kesampaian apabila tewas tipis 2-3 dalam aksi terakhir Kumpulan C pada Khamis.
Dalam perlawanan di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, skuad negara yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Perancis dan Australia, memulakan saingan dengan cemerlang sebelum tewas dalam tiga perlawanan terakhir.
Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dikenali sebagai ‘Gangsters Duo’ membuka tirai kemenangan selepas menundukkan pasangan Hiroki Midorikawa-Arisa Igarashi 21-19, 21-18 dalam masa 39 minit.
Perseorangan lelaki negara dan kapten pasukan, Leong Jun Hao, menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan pemain nombor lapan dunia, Kodai Naraoka, 21-8, 13-21, 21-18 dalam perlawanan mendebarkan selama 68 minit sekali gus menghadiahkan mata kedua Malaysia.
Namun, kebangkitan Malaysia terhenti apabila Goh Jin Wei gagal menyaingi perseorangan wanita Jepun, Tomoka Miyazaki dan akur tewas 14-21, 17-21 dalam masa 38 minit.
Gandingan juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut gagal menyempurnakan misi apabila selepas menang set pertama 21-12, mereka tumbang kepada bekas juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 23-21 dalam pertarungan 69 minit.
Perlawanan penentu menyaksikan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, mencabar gandingan nombor dua dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida. Selepas bangkit menang set kedua, mereka tewas tipis 18-21, 21-18, 18-21 dalam aksi sengit selama 83 minit.
Walaupun kalah, skuad negara masih mara ke suku akhir dan menunjukkan potensi besar dalam kempen kali ini.