am@hmetro.com.my
Shah Alam: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Banting – Jugra dekat Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal berusia 20-an itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting.
Beliau berkata, pada kejadian 1.30 tengah hari itu, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Corolla Altis dipandu seorang lelaki berusia 50-an berhenti di persimpangan kerana lampu isyarat merah.
Katanya, pemandu kereta berkenaan kemudian membelok ke kanan apabila lampu isyarat bertukar hijau.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua individu dari arah bertentangan bergerak terus lalu melanggar sisi kiri kereta itu.
“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mereka tercampak dan jatuh di atas jalan. Penunggang dan pembonceng, parah di kepala,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penunggang dan pembonceng terbabit kemudiannya dikejarkan ke Hospital Banting.
“Pada 2.15 petang, pegawai perubatan Hospital Banting mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd