Kurang fokus di saat mata penting pemisah Malaysia, Jepun

Kurang fokus di saat mata penting pemisah Malaysia, Jepun


SKUAD badminton negara hampir mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Sudirman pada Khamis, namun kurang fokus di saat mata penting jadi pemisah kedua-dua pasukan.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj memuji semangat juang luar biasa yang ditunjukkan barisan pemain negara, sambil menyifatkan mereka mempunyai potensi besar untuk menewaskan gergasi Asia itu.

“Kita sudah mendahului 2-0 menerusi beregu campuran dan perseorangan lelaki. Tapi beregu lelaki dan wanita hilang fokus pada mata-mata penting – itu yang merugikan kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Menurut James, meskipun beregu negara mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan, kegagalan mengekalkan ketenangan di saat kritikal mengubah segalanya.

“Pemain kita bukan saja beri tentangan sengit, malah hampir cipta kejutan. Tapi aspek mental dan fokus perlu diperkuatkan selain konsistensi fokus pada saat-saat mata penting, kalau nak pergi lebih jauh,” tegasnya.

Sebagai bekas jaguh negara, James turut mengingatkan bahawa kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman menuntut komitmen padu daripada setiap pemain – sama ada perseorangan atau beregu.

“Setiap aksi di gelanggang bukan saja dinilai penonton, tapi juga rakan sepasukan. Ini bukan soal individu – ini soal negara, ” katanya.

Beliau menegaskan, jika skuad Malaysia mampu mengekalkan fokus dan kekal konsisten, mereka masih berpeluang mencipta sesuatu dalam kejohanan ini.

Sebelum itu, hasrat skuad negara untuk menamatkan dominasi Jepun dalam Piala Sudirman tidak kesampaian apabila tewas tipis 2-3 dalam aksi terakhir kumpulan.

Dalam perlawanan di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, skuad negara yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Perancis dan Australia, memulakan saingan dengan cemerlang sebelum tewas dalam tiga perlawanan terakhir.

Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dikenali sebagai ‘Gangsters Duo’ membuka tirai kemenangan selepas menundukkan pasangan Hiroki Midorikawa-Arisa Igarashi 21-19, 21-18 dalam masa 39 minit.

Perseorangan lelaki negara dan kapten pasukan, Leong Jun Hao, menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan pemain nombor lapan dunia, Kodai Naraoka, 21-8, 13-21, 21-18 dalam perlawanan mendebarkan selama 68 minit sekali gus menghadiahkan mata kedua Malaysia.

Namun, kebangkitan Malaysia terhenti apabila Goh Jin Wei gagal menyaingi perseorangan wanita Jepun, Tomoka Miyazaki dan akur tewas 14-21, 17-21 dalam masa 38 minit.

Gandingan juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut gagal menyempurnakan misi penting apabila selepas menang set pertama 21-12, mereka tumbang kepada bekas juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 23-21 dalam pertarungan 69 minit menyaksikan Jepun kembali mengikat permainan 2-2.

Pada perlawanan penentu beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, ternyata mencabar gandingan nombor dua dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Bagaimanapun selepas Pearly- Thinaah mempamerkan semangat kebangkitan tinggi menang set kedua, beregu berpengalaman negara itu hilang fokus pada mata penting sebelum tewas tipis 18-21, 21-18, 18-21 dalam aksi sengit selama 83 minit.

Di suku akhir, Malaysia berstatus naib juara Kumpulan C akan menentang juara 13 kali juga juara Kumpulan A China.

Pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Sudirman ialah mara ke separuh akhir tiga kali iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.



Source link

OR

Scroll to Top