Dua legenda Portugal hangatkan aksi All Star Kedah

Dua legenda Portugal hangatkan aksi All Star Kedah


Quaresma (dua kiri) dan Tomas (empat kiri) menampilkan aksi permainan bertaraf dunia walaupun beraksi pada aksi persahabatan di Alor Setar pada malam Sabtu. – Foto: Arena Hijau Kuning

KEHADIRAN dua bekas bintang bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma dan Joao Tomas dalam perlawanan persahabatan All Star Kedah bukan sahaja menceriakan peminat, malah menjadi inspirasi besar kepada pemain muda negeri ini.

Aksi persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia menyaksikan Quaresma dan Tomas mempamerkan sentuhan magis masing-masing dengan kedua-duanya menjaringkan gol dalam kemenangan 4-3 pasukan Kedah di Stadium Darul Aman, malam Sabtu.

Penolong Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohammad Khairul Ismail mengakui peluang untuk beraksi sepasukan bersama dua legenda tersebut merupakan pengalaman luar biasa sepanjang penglibatannya dalam dunia bola sepak.

“Saya tak pernah terfikir untuk beraksi dengan mereka. Quaresma masih menunjukkan kualiti bertaraf dunia, manakala Tomas yang hampir mencecah usia 50 tahun masih bertenaga. Ini adalah contoh terbaik buat pemain muda,” katanya selepas perlawanan.

Khairul percaya kehadiran dua legenda tersebut menjadi pendorong penting kepada pemain muda yang sedang membina kerjaya dalam sukan bola sepak.

“Melihat bagaimana mereka masih mampu bermain pada tahap tinggi memberikan inspirasi kepada anak muda Kedah yang sedang mengasah bakat masing-masing,” katanya.

Perlawanan ini bukan sekadar mempertemukan legenda bola sepak tempatan dan antarabangsa, malah merupakan inisiatif pengurusan KDA FC bagi menarik penajaan luar menjelang persiapan musim 2025/2026.

Pasukan All Star Kedah turut dibarisi bekas pemain ternama seperti Helmi Eliza, Fauzi Nan, Nafuzi Zain dan Khyril Muhymeen, manakala pasukan All Star Malaysia disertai oleh Amri Yahya, Faiz Subri dan Liew Kit Kong.



Source link

OR

Scroll to Top