OLAHRAGA Malaysia (MA) menjangkakan ketibaan enam jurulatih baharu pada Mei atau Jun dengan beberapa orang jurulatih tempatan berkemungkinan memulakan tugas pada hujung bulan ini.
Mereka sudah dimaklumkan dan langkah seterusnya ialah memuktamadkan kontrak, kata Pengarah Teknikal MA, Robert Ballard yang menambah kesatuan itu sentiasa berhubung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak tahun lepas untuk menyelesaikan perkara ini.
Beliau juga berharap pelantikan berkenaan dapat dibuat segera kerana permintaan untuk mendapatkan jurulatih baharu itu telah dikemukakan beberapa bulan sebelum ini dan bukannya sejak minggu lepas.
“Kami juga membuat susulan pada Oktober, November, Disember (tahun lepas) dan beberapa minggu kebelakangan ini dengan MSN, tetapi kelewatan tidak dapat dielakkan apabila melibatkan pembiayaan, visa dan hakikat bahawa beberapa orang jurulatih antarabangsa masih terikat dengan pekerjaan di tempat lain. Ia mengambil masa.
“Kami berharap (pelantikan) pada Mei atau Jun. Ada kemungkinan sebahagian daripada mereka akan tiba menjelang hujung bulan ini kerana ada beberapa orang jurulatih tempatan dalam kalangan enam jurulatih baharu itu,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur di Stadium Merdeka pada Ahad.
Ballard berkata, pelantikan itu penting untuk pelan jangka panjang MA dalam mengembangkan program kebangsaan kepada lebih 100 atlet bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Kami perlu perluas capaian dan sekiranya kami dapat jurulatih baharu, kami akan mempunyai kemampuan dari segi masa dan tenaga untuk menyusun program ini dan membantu jurulatih negeri dengan atlet mereka yang berada dalam program kebangsaan.
“Diharapkan, ia dapat membantu jurulatih menerusi bengkel-bengkel dan membangunkan atlet muda yang berpotensi untuk maju,” katanya. – Bernama.