VAR menjadi tumpuan dalam saingan Liga Super musim ini apabila dikatakan menjadi punca Sri Pahang mencatat keputusan seri 2-2 ke atas Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak pada Mei tahun lalu. Foto SRI PAHANG FC
BEBERAPA aspek dalam pengurusan Liga Malaysia (Liga-M) perlu ditambah baik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mengembalikan keyakinan serta sokongan peminat bola sepak tanah air.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, antara isu utama yang wajar diberikan perhatian serius ialah mutu pengadilan serta pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang terus menjadi sasaran kritikan penyokong.
Menurutnya, kelemahan sistem VAR yang digunakan ketika ini perlu diperbaiki segera, termasuk aspek jumlah kamera, tiada tayangan semula dalam stadium dan sudut tayangan semula yang terhad.
“Kita dimaklumkan bahawa penggunaan VAR ketika ini sememangnya masih belum mantap. Kamera yang digunakan juga mungkin tidak mencukupi untuk mendapatkan sudut ulang tayang yang lebih jelas.
“Malah, tiada tayangan semula ditunjukkan kepada penonton di stadium yang rata-ratanya tidak tahu adakah kesalahan tersebut wajar dihukum atau tidak.
“Untuk penonton di rumah pula, ulang tayang yang ditunjukkan sangat terhad dari segi sudut kamera, terlalu singkat dan kadangkala ia juga dapat menimbulkan pertikaian.
“Peminat yang bersuara bukan mahu mengkritik, tetapi mengharapkan elemen tersebut dapat diperbaiki agar menjadi lebih baik musim depan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, isu pengadilan sememangnya menjadi perkara paling utama dengan keputusan pengadil sering dipertikaikan sepanjang saingan liga musim lalu.
Malah, isu tersebut juga turut membayangi aksi perlawanan akhir Piala Malaysia dengan beberapa keputusan dilakukan pengadil perlawanan menimbulkan pertikaian.
Beliau berkata, FAM perlu terbuka menerima teguran dan segera melakukan penambahbaikan demi kepentingan liga tempatan.
“Kalau sudah tahu ada kelemahan, tidak perlu menafikannya. Tiada salahnya untuk FAM dan MFL mengambil langkah memperbaiki sistem sedia ada.
“Jangan anggap yang menegur itu pula tak tahu apa-apa pasal bola sepak kerana mereka juga mahukan yang terbaik untuk sukan ini,” ujarnya.