Kali terakhir skuad Harimau Malaya dan Indonesia bertemu pada aksi Piala AFF 2021.
PRESIDEN Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memberi bayangan kemungkinan pertemuan antara skuad kebangsaan Indonesia dan Malaysia dalam aksi persahabatan September depan.
Menurut Erick, walaupun tumpuan utama ketika ini adalah dua perlawanan terakhir dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang China dan Jepun pada Jun nanti, PSSI tetap merancang pelbagai kemungkinan untuk persiapan jangka panjang.
Beliau menjelaskan, jika Indonesia berjaya melangkah ke pusingan keempat, mereka bakal kembali beraksi pada Oktober, justeru perlawanan persahabatan perlu dirancang sebagai persiapan.
“Kita ada slot persahabatan pada September. Hasil perlawanan bulan Jun belum pasti, tetapi kita harus optimis untuk kumpul sebanyak mungkin mata.
“Ini bermakna jendela pada bulan Oktober dan November juga perlu kita persiapkan, sekiranya kita layak ke pusingan kelayakan seterusnya. Jadi, bulan September yang kosong itu perlu kita isi dengan perlawanan persahabatan,” katanya memetik portal JawaPos.com.
Erick turut menyatakan beberapa negara Asia Barat seperti Lubnan dan Kuwait telah memberi maklum balas positif untuk aksi persahabatan dan Malaysia turut berada dalam pertimbangan.
“Untuk satu slot lagi, kita cuba lihat Malaysia yang juga sedang menambah baik pasukan. Kita juga melihat mereka (Malaysia) sedang menukar jurulatih dan mempunyai ramai pemain baharu, jadi kita pun ingin mencuba.
“Kita juga sudah rindu untuk bertemu Malaysia, sudah agak lama (tidak bertemu Malaysia),” katanya.
Namun sehingga kini, Malaysia masih belum memberikan sebarang maklumbalas atau jawapan terhadap jemputan daripada PSSI.
“Kalau Malaysia tak mahu, tak apa mungkin lain kali. Rancangannya semua perlawanan akan diadakan di tempat sendiri, iaitu di Indonesia,” katanya.
Kali terakhir Indonesia menentang Malaysia adalah pada aksi Piala AFF 2021 menyaksikan skuad Garuda menang 4-1.