Al-Nassr kalah lagi, peminat gelar Ronaldo 'bayi menangis'

Al-Nassr kalah lagi, peminat gelar Ronaldo 'bayi menangis'


Riyadh: Peminat bola sepak mengkritik tindakan Cristiano Ronaldo selepas Al-Nassr tewas 2-3 di tangan Al- Ittihad dalam saingan Liga Pro Saudi hasil jaringan lewat Houssem Aouar, awal pagi tadi.

Bintang Portugal itu jelas menunjukkan rasa kecewa apabila pasukannya dibolosi pada penghujung perlawanan, dan dia dilihat mengangkat tangan ke udara dengan penuh kecewa.

Tindakannya itu menyebabkan dia menjadi bahan ejekan dalam talian, dengan ramai melabelkannya sebagai ‘bayi menangis’ kerana sikapnya.

Bekas bintang Manchester United itu menyertai Al Nassr dalam Liga Pro Saudi pada penghujung 2022 dan menunjukkan prestasi cemerlang sejak ketibaannya.

Dia menjaringkan gol demi gol dan perpindahannya mencetuskan lonjakan populariti bola sepak di Arab Saudi, yang turut menyaksikan ramai bintang besar lain berpindah ke negara itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Namun begitu, Al-Nassr masih belum memenangi sebarang trofi sejak ketibaan Ronaldo, dan penyokong kini mula berasa kecewa dengan tingkah lakunya yang jelas diluahkan mereka di media sosial selepas kekalahan kepada Al Ittihad.

Peminat bola sepak tidak berpuas hati dengan sikap Ronaldo dalam perlawanan itu dan mereka menyuarakan rasa tidak senang mereka dalam media sosial.

Laman peminat Al-Nassr di X (Twitter) menyelar kapten pasukan itu dan menulis: “Lihat bagaimana kapten ‘bayi menangis’ kita berkelakuan. CR7 adalah perkara paling teruk yang pernah berlaku kepada Al Nassr. Ultras menuntutnya. Keluarkan Cristiano Ronaldo daripada kelab saya.”

Dia bukan satu-satunya yang menerima kecaman. Seorang lagi peminat menuduh Ronaldo sebagai pemimpin yang lemah, dengan menulis: “Dia bukan pemimpin sejati. Dia tak memberi inspirasi. Dia hanya peduli tentang kemuliaan dirinya.”

Seorang penyokong lain pula menambah: “Peminat Ronaldo akan dengan yakin berkata dia sedang ‘mengusung’ Al Nassr. Ini adalah pembelian paling teruk dalam sejarah bola sepak, tanpa ragu.”

Kemenangan awal pagi tadi mencerahkan peluang Al-Ittihad merangkul gelaran berganda domestik selepas mara ke final Piala Raja, melebarkan kedudukan mereka kepada 71 mata, enam mata di hadapan Al-Hilal, dengan baki empat perlawanan.

Bagi Al-Nassr yang dibarisi Ronaldo dan kini di tempat keempat dengan 60 mata, kekalahan itu menjejaskan harapan mereka untuk layak ke peringkat elit Liga Juara-Juara AFC musim hadapan, dengan hanya dua pasukan dari liga yang akan layak selepas Al-Ahli Saudi menjuarai kejohanan benua itu Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top