Perlu kajian semula MRO pertahanan udara negara – Penganalisis

Perlu kajian semula MRO pertahanan udara negara – Penganalisis


saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kebergantungan alat ganti untuk aset pertahanan udara kepada negara pengeluar boleh mengundang masalah jika berdepan dengan peperangan serantau.

Mengambil kesan yang berlaku terhadap perang Ukraine-Rusia, negara terpaksa mendapatkan alat ganti menerusi negara ketiga.

Ia sekali gus memberikan gambaran bahawa sektor penyelenggaraan dan sokongan (MRO) bagi aset pertahanan udara negara kini berdepan pelbagai cabaran kritikal yang menuntut pembaharuan menyeluruh demi menjamin kesiapsiagaan dan keselamatan ruang udara Malaysia.

Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, antara isu paling ketara adalah masalah mendapatkan alat ganti turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pesawat yang tidak dapat beroperasi (Aircraft On Ground – AOG).

Beliau berkata, sektor penyelenggaraan ini juga perlu mengalami transformasi serta perubahan untuk menjamin kelangsungan aset pertahanan negara.

“Sektor ini turut berhadapan dengan kekangan sumber manusia apabila kekurangan jurutera tempatan berkemahiran tinggi memaksa agensi penyelenggaraan bergantung kepada vendor luar.

“Selain itu, teknologi yang digunakan masih ketinggalan, bergantung kepada sistem manual dan belum beralih sepenuhnya kepada digital atau automasi moden. Usaha pemindahan teknologi dari luar negara juga dilihat kurang berkesan.

“Daripada segi tadbir urus pula, negara perlu membangunkan penyelidikan serta pembangunan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, teknologi seperti penyelenggaraan prediktif berasaskan kecerdasan buatan (AI), cetakan 3D untuk alat ganti, serta sistem digital rantaian bekalan masih belum dibangunkan secara menyeluruh.

Menurutnya, kebergantungan penuh kepada pengeluar luar negara menyebabkan sektor ini mudah terdedah kepada gangguan geopolitik.

“Sebagai langkah pembaharuan, beberapa cadangan strategik dikemukakan oleh pihak industri seperti menggabungkan pelbagai entiti penyelenggaraan bagi mewujudkan satu hab nasional penyelenggaraan aeroangkasa.

“Melaksanakan sistem penyelenggaraan prediktif berasaskan AI bagi mengurangkan kadar AOG termasuk menubuhkan pusat latihan nasional khusus untuk melahirkan jurutera MRO tempatan berkemahiran tinggi.

“Mempelbagaikan perkhidmatan penyelenggaraan kepada pasaran antarabangsa seperti rantau Asia Tenggara (Asean), Afrika dan Timur Tengah,” katanya.

Menurutnya, langkah ini dilihat penting untuk memperkukuh keupayaan tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dan memastikan aset udara negara sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top