hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sikap degil peniaga yang meletakkan peralatan niaga termasuk kerusi dan meja di laluan awam hingga menghalang laluan orang ramai mengundang padah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan itu.
DBKL dalam kenyataan berkata, lapan kes tindakan sita dilakukan, dua notis penguatkuasaan dan satu notis trafik dikeluarkan oleh pihaknya dalam operasi di sekitar Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Thambipillay, di sini, baru-baru ini.
“DBKL melaksanakan tindakan sitaan terhadap peniaga yang meletakkan kerusi dan meja serta peralatan lain di pejalan kaki atau laluan awam tanpa kebenaran di sekitar lokasi berkenaan.
“Semua tindakan itu dilakukan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu berkata, antara barangan yang disita adalah meja, kerusi plastik, kanopi, barang perhiasan wanita dan beberapa peralatan lain.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang sudah dikenal pasti,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, DBKL memaklumkan urusan berkaitan penjaja dan peniaga kecil iaitu sistem e-Lesen DBKL kini beroperasi seperti biasa dan boleh digunakan orang ramai.
Katanya, justeru, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih hanya melalui saluran rasmi DBKL bagi mengelakkan kekeliruan atau penyebaran maklumat tidak benar.
“DBKL sentiasa komited untuk memastikan perkhidmatan kepada warga kota berjalan lancar dan akan terus menambah baik sistem serta saluran penyampaian maklumat demi kemudahan semua.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd