Aaron-Wooi Yik, Nor Farah Ain dinobat Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2024

Aaron-Wooi Yik, Nor Farah Ain dinobat Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2024


TEKA-TEKI mengenai siapakah yang bakal dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2024 akhirnya terjawab apabila gandingan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta ratu boling padang, Nor Farah Ain Abdullah, diumumkan sebagai penerima anugerah utama pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 yang berlangsung pada Selasa.

Majlis penuh berprestij yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya, Selangor itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ini merupakan kali kedua Aaron-Wooi Yik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan, setelah kali pertama menerima anugerah sama pada tahun 2022. Ketika itu, mereka mencipta sejarah apabila menjadi pasangan beregu lelaki pertama negara menjuarai Kejohanan Badminton Dunia BWF, sekali gus menghadiahkan Malaysia gelaran dunia sulung dalam sukan badminton.

Untuk ASN 2024, kejayaan mereka meraih pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 membolehkan mereka sekali lagi menewaskan pencabar lain termasuk jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia, yang turut membawa pulang pingat gangsa dari temasya sama.

Turut bersaing dalam pencalonan Olahragawan Kebangsaan ialah Wong Weng Soon (wushu), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Sementara itu, keunggulan Nor Farah Ain, 28, yang memenangi Kejohanan Dunia Boling Padang Dalam Dewan di Guernsey pada April lalu, meletakkannya sebagai pilihan utama untuk merangkul gelaran Olahragawati Kebangsaan 2024.

Beliau mengetepikan pencabar hebat termasuk Sin Li Jane, atlet Asia pertama memenangi gelaran Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PWBA 2024 di Amerika Syarikat, serta Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

Dalam kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, terus membuktikan keunggulannya selepas diumumkan sebagai pemenang hasil pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu, mengatasi pencabar lain seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly.

Manakala gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2024 menjadi milik atlet para boling padang, Hasmunirah Malik, yang mempamerkan prestasi cemerlang di kejohanan peringkat dunia tahun ini.

Beliau dipilih sebagai pemenang selepas mengetepikan saingan daripada empat calon lain iaitu Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), dan Noor Imanina Idris (para olahraga).

Setiap penerima kategori utama membawa pulang sebuah trofi, piala iringan, sijil penghargaan, serta wang tunai sebanyak RM20,000.

ASN 2024 turut menyampaikan tujuh anugerah lain termasuk Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik, Jurulatih Lelaki dan Wanita Terbaik, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.

Untuk rekod, gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023 sebelum ini menjadi milik jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, dan ratu tenpin boling, Natasha Mohamed Roslan.



Source link

OR

Scroll to Top