najiy.jefri@hmetro.com.my
Konsert Jelajah Rockology 2025 bukan sekadar medan hiburan untuk menggegarkan pentas muzik tanah air, sebaliknya menjadi platform bermakna untuk menjayakan misi kemanusiaan.
Di sebalik gegaran bunyi gitar dan laungan peminat, konsert ini membawa agenda murni apabila sebahagian daripada keuntungan akan disalurkan bagi merealisasikan Konsert Wings Dalam Penjara, sebuah projek tanggungjawab sosial bertujuan menyantuni banduan dan komuniti terpinggir yang memerlukan ruang pemulihan serta motivasi kehidupan.
Justeru, inisiatif unik ini menyatukan dua nama besar dalam dunia rock iaitu Datuk Awie dan duo Search KidDin yang bukan hanya mahu menghiburkan, tetapi juga memberikan nilai kepada masyarakat menerusi muzik.
Bagi mereka, irama rock bukan sekadar seni persembahan, tetapi juga suara yang mampu menyentuh hati dan membawa perubahan positif kepada golongan yang sering dipandang sepi.
Menurut Awie, konsert ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, sebaliknya membawa misi yang lebih besar dalam menghidupkan semula semangat rock dalam kalangan masyarakat.
“Saya menerima pelawaan untuk terbabit dalam konsert Jelajah Rockology 2025 kerana saya percaya pada misi dan semangat yang dibawa penganjur. Ia bukan hanya persembahan biasa, tetapi satu gerakan untuk mengembalikan semula jiwa rock yang pernah mewarnai industri muzik kita.
“Sebahagian daripada dana dan keuntungan yang dijana melalui konsert ini digunakan untuk menjayakan program tanggungjawab sosial korporat kami yang seterusnya iaitu Konsert Wings Dalam Penjara. Ini adalah projek istimewa yang bertujuan menyantuni komuniti terpinggir yang memerlukan perhatian dan sokongan pemulihan.
“Ini juga adalah inisiatif kami untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutama mereka yang tersisih daripada dunia luar,” katanya.
Konsert jelajah itu adalah hasil usaha RPM Group of Companies yang terdiri daripada tiga cabang utama iaitu Rumah Produksi Merah Sdn Bhd, RPM Events Sdn Bhd dan RPM Labels Sdn Bhd.
Pengarah syarikat itu, Datuk Eddy Amir Salim berkongsi harapannya supaya kolaborasi antara Awie dan dua figura penting daripada kumpulan Search iaitu Kid dan Din mampu menghidupkan kembali suasana rock yang pernah mendominasi era 1980-an dan 1990-an.
“Kid dan Din adalah anggota asal Search yang membawa elemen klasik serta tenaga luar biasa yang cukup sinonim dengan zaman kegemilangan muzik rock di Malaysia.
“Gabungan dua ikon rock ini dalam Konsert Rockology dijangka mencipta satu pengalaman luar biasa yang penuh emosi dan tenaga, apabila peminat dari pelbagai generasi dapat menikmati lagu hits yang pernah menjadi latar belakang kehidupan mereka,” katanya.
Konsert Jelajah Rockology 2025 berlangsung di dua lokasi utama iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun depan dan Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 5 Julai depan.
Jelajah ini dijangka menarik kehadiran lebih 15,000 peminat muzik rock dari seluruh negara termasuk Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd