PENGENDALI tersohor kelahiran Itali, Carlo Ancelotti, mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, bagi menyertai pasukan kebangsaan Brazil selaku ketua jurulatih baharu bermula 25 Mei ini.
Pengumuman rasmi tersebut, yang dibuat susulan pengesahan oleh Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) sehari sebelumnya, sekali gus menamatkan teka-teki yang berlegar dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak antarabangsa.
Menurut Ancelotti, yang telah memimpin Real Madrid dalam dua tempoh berbeza, keputusan tersebut dibuat dengan penuh pertimbangan dan restu daripada pihak kelab.
“Tahun-tahun yang saya lalui di sini merupakan kenangan abadi yang akan saya simpan erat dalam hati. Bola sepak, seperti kehidupan, dipenuhi dengan pengembaraan yang bermula dan akhirnya akan berakhir,” ujarnya dalam satu sidang media menjelang perlawanan LaLiga menentang Real Mallorca di Santiago Bernabéu pada Khamis
Beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus memberi sepenuh tumpuan kepada Real Madrid sehingga tarikh keberangkatan ke Brazil.
“Saya menikmati sepenuhnya masa saya bersama kelab ini, dan berazam untuk menamatkan musim ini dengan sebaik mungkin. Mulai 26 Mei, saya akan memulakan bab baharu dalam kerjaya saya,” katanya.
Mengulas ketiadaan kenyataan rasmi daripada pihak Real Madrid pada waktu pengumuman tersebut dibuat, Ancelotti menegaskan bahawa hubungan beliau dengan kelab kekal baik, dan segala urusan berjalan mengikut persetujuan bersama.
“Real akan mengeluarkan kenyataan pada masa yang sesuai. Tiada sebarang isu antara kami. Kelab ini amat saya cintai, namun segala-galanya di dunia ini mempunyai tempohnya,” katanya.
Sepanjang tempoh keduanya bersama Real Madrid, Ancelotti telah memenangi sejumlah 11 trofi, termasuk kejuaraan Liga Juara-Juara, LaLiga dan Piala Dunia Kelab.
Bagaimanapun, musim ini menyaksikan prestasi tidak konsisten apabila Real kini berada di tangga kedua liga, tujuh mata di belakang Barcelona yang berpeluang menobatkan diri sebagai juara lebih awal sekiranya Madrid gagal meraih kemenangan ke atas Mallorca.
Dalam perkembangan berkaitan, calon pengganti Ancelotti dijangka diumumkan sebelum perlawanan terakhir musim ini menentang Real Sociedad.
Bekas pemain tengah kelab tersebut, Xabi Alonso, yang kini cemerlang membimbing Bayer Leverkusen, disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk mengisi kekosongan itu.
“Saya amat menghormati Alonso. Beliau memiliki semua kualiti yang diperlukan untuk menjadi jurulatih yang hebat. Tiada nasihat khusus daripada saya kerana beliau sudah bersedia,” kata Ancelotti, yang pernah menjadi mentor kepada Alonso semasa zaman kegemilangan di Madrid.
Ancelotti juga merumuskan bahawa kerjayanya di Real Madrid adalah suatu perjalanan yang luar biasa, walaupun tidak bersifat kekal.
“Jika pada awal saya diberitahu bahawa saya akan memenangi 11 trofi dalam empat tahun, saya pasti akan menerimanya tanpa berfikir panjang.
“Meskipun musim ini tidak berjalan seperti yang diharapkan, tempoh saya bersama Real kekal sebagai detik yang tidak dapat dilupakan. Saya tidak akan menjadi jurulatih Real Madrid sepanjang hayat. Setiap pasukan memerlukan pembaharuan pada waktunya.
“Ribuan terima kasih kepada kelab ini. Kita akan terus mara ke hadapan. Saya akan sentiasa menjadi penyokong Real Madrid. Ini ialah penutup kepada satu era yang hebat, dan saya amat bersyukur menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.