Keputusan rayuan akhir kes bunuh Kevin Morais ditangguh

Keputusan rayuan akhir kes bunuh Kevin Morais ditangguh


surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan terhadap rayuan akhir enam lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Datuk Kevin Anthony Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram diisi konkrit, 10 tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti rayuan sebelum membuat keputusan.

“Tarikh keputusan akan dimaklumkan kemudian,” katanya yang turut bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.

Enam tertuduh itu ialah bekas pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr R Kunaseegaran, 62, bekas pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 54, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 33, AK Thinesh Kumar, 32, M Vishwanath, 35, serta S Nimalan, 32.

Terdahulu, pihak pembelaan dalam hujahnya memberitahu tiada bukti yang mengaitkan tertuduh Kunaseegaran dengan kes pembunuhan mendiang Morais kerana lelaki itu tidak pernah berada di lokasi kejadian.

Peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Kunaseegaran dengan tegas berhujah, anak guamnya tidak pernah dibuktikan mempunyai niat yang sama dengan lima tertuduh lain untuk membunuh mangsa.

Beliau berkata, keterangan bekas tertuduh yang kemudian menjadi saksi pendakwaan dan mengaitkan Kunaseegaran dengan kes itu adalah tidak lebih daripada sekadar teori untuk mewujudkan motif.

Sivananthan berkata, justeru itu, keterangan saksi pendakwaan ke-54, G Gunasekaran adalah tidak boleh dipercayai dan harus ditolak oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili S Nimalan sebelum ini menghujahkan bahawa anak guamnya tidak boleh dipertanggungjawabkan atas pembunuhan Morais.

“Saya tidak menyatakan bahawa anak guam saya wajar dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh tetapi dia tidak boleh disabitkan atas kesalahan itu hanya kerana dia berada di tempat kejadian. “Dia (mungkin) terbabit dalam penculikan tetapi bukan atas pembunuhan,” katanya.

Peguam Kitson Foong yang mewakili Ravi Chandaran pula berhujah, anak guamnya memberikan penjelasan terhadap pembabitan termasuk kesan asid deoksiribonukleik (DNA) milik Morais yang ditemui pada kemeja-T yang dipakainya.

“Anak guam saya menjelaskan bahawa darah milik Morais ‘dipindahkan’ kepada kemeja yang dipakainya selepas tangannya terkena darah Morais yang ada pada stereng kereta Morais. Darah Morais terkena pada stereng selepas berlakunya pelanggaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selaku responden pula berhujah, pembunuhan Morais itu tidak boleh dilihat sebagai ‘satu aksi’ sebaliknya adalah himpunan tindakan bagi mencapai satu tujuan (kematian mangsa).

“Sehubungan itu, walaupun tertuduh (S Nimalan) hanya mempunyai peranan kecil dalam keseluruhan insiden, dia tetap boleh disabitkan atas kesalahan (membunuh) kerana ia memenuhi elemen ‘niat bersama’ sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, sabitan kesemua adalah selamat. Kami (pendakwaan) memohon supaya rayuan semua perayu ditolak dan hukuman dikekalkan,” katanya.

Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan semua mereka bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Rayuan mereka kemudian ditolak Mahkamah Rayuan pada 14 Mac tahun lalu yang mana panel hakim mahkamah itu mengekalkan hukuman kerana kejadian bunuh itu dirancang rapi dengan keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman semua tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top