PEMAIN pertahanan Real Madrid, Jacobo Ramon muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir masa tambahan, sekali gus merobek hati penyokong Mallorca dalam perlawanan dramatik di Santiago Bernabéu.
Jaringan voli yang menggegarkan jaring lawan itu bukan sahaja memastikan kemenangan 2-1 buat Los Blancos, malah menangguhkan sambutan kejuaraan LaLiga oleh pendahulu liga, Barcelona.
Barcelona kini mengumpul 81 mata selepas 35 perlawanan, manakala Real Madrid mengumpul 78 mata dengan kelebihan satu perlawanan berbanding Barca.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabéu, benteng pertahanan Mallorca hampir sempurna menangkis setiap percubaan Madrid sebelum akhirnya runtuh pada detik-detik terakhir.
Kegagalan pertahanan Mallorca mengeluarkan bola lintang dari kawasan kotak penalti dihukum oleh Ramon yang melepaskan rembatan deras, menewaskan penjaga gol, Leo Román.
Sebelum jaringan dramatik itu, perlawanan berlangsung dalam suasana tegang dan suram di stadium yang tidak penuh.
Mallorca terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan sudut tajam oleh pemain pertahanan, Martin Valjent seawal minit ke-11.
Real Madrid, yang turun tanpa 12 pemain tonggak akibat kecederaan, bergelut untuk menembusi pertahanan lawan.
Namun, magis Kylian Mbappé kembali menyinari padang apabila penyerang lincah itu melakukan gerakan solo yang menakjubkan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Selepas itu, Madrid melancarkan serangan bertubi-tubi dengan 39 percubaan ke arah gol dan memperoleh 26 sepakan penjuru, tetapi Leo Román menjadi tembok kebal dengan 11 penyelamatan cemerlang.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan dan harapan kejuaraan buat Barcelona dilihat hampir pasti, Ramon muncul dari barisan pertahanan untuk menulis skrip yang tidak dijangka.
Gol pertamanya bersama pasukan utama bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga buat Real Madrid, tetapi juga meniupkan kembali sedikit harapan dalam perebutan takhta LaLiga.
“Mallorca adalah pasukan yang baik. Mereka menjaringkan gol dan kemudian bertahan lebih ke belakang.
“Kami memiliki banyak peluang, penjaga gol mereka bermain dengan hebat, tetapi pada akhirnya kami berjaya menang… Ini tidak dapat dijelaskan, saya memimpikannya sepanjang hidup saya.
“Jersi ini adalah hingga ke akhir, dan tiada cara lebih baik untuk menjaringkan gol pertama saya selain seperti ini,” luah Ramon, wira baharu di Bernabéu.
Dengan dua perlawanan berbaki, Real Madrid masih mengekori Barcelona dengan jurang empat mata. Barca, yang mempunyai satu perlawanan kurang, akan dinobatkan sebagai juara LaLiga jika berjaya menewaskan Espanyol dalam derbi Catalan pada Khamis ini.