Kuala Lumpur: Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) ditubuhkan sebagai satu kerangka taktikal dan strategik kebangsaan yang menyeluruh bagi memperkukuh barisan pertahanan negara terhadap jenayah kewangan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, KKFP membabitkan tiga teras utama dengan yang pertama ialah mewujudkan kerjasama antara agensi/badan awam bagi memperkukuh perkongsian maklumat, tipologi jenayah dan analisis trend semasa membabitkan fraud perakaunan.
“Kedua, menyediakan platform strategik rentas agensi untuk pembangunan teknikal, penyelidikan dan inovasi bagi mengemukakan cadangan dasar serta perundangan berkaitan isu perakaunan, pengauditan, tadbir urus juga analisis kewangan ke arah mengurangkan risiko fraud perakaunan.
“Ketiga, memperkasa pembangunan kompetensi pegawai agensi/badan awam melalui latihan pensijilan dan program perkongsian ilmu fraud perakaunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran KKFP di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Audit Negara Jabatan Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Akauntan Negara Nor Yati Ahmad.
Azam berkata, KKFP bukan sahaja ditubuhkan sebagai simbolik kerjasama rentas agensi, tetapi ia dirancang secara taktikal untuk memastikan setiap kekuatan yang dimiliki oleh agensi berkaitan dapat dimobilisasi secara bersepadu.
“Struktur KKFP dirangka untuk responsif dan inklusif. Ia bukan sekadar jawatankuasa atas kertas, tetapi satu jentera koordinasi berimpak tinggi yang menggabungkan kekuatan teknikal, keupayaan risikan kewangan, kecekapan penyiasatan, kepakaran analisis forensik kewangan dan kecerdasan akademik.
“Saya menyambut baik pemilihan SPRM sebagai Pengerusi dan Jabatan Audit Negara sebagai Timbalan Pengerusi Kumpulan Kerja ini, bersama rakan-rakan utama seperti Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ‘Malaysia Institute of Accountants’ dan UiTM,” katanya.
Beliau berkata, setiap agensi membawa kekuatan tersendiri sama ada dalam bentuk data, kepakaran audit, maklumat korporat atau sumber latihan profesional.
“Teknologi juga menjadi sebahagian penting dalam kerangka pelaksanaan KKFP. Seiring dengan perkembangan dunia digital, SPRM kini melangkah ke hadapan dengan mengintegrasikan teknologi seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI) dalam siasatan dan operasi kami.
“Teknologi ini bukan sekadar mempercepatkan siasatan, tetapi juga membantu mengenal pasti corak penipuan yang tidak lagi mampu dikesan secara konvensional.
“Integrasi teknologi ini turut melengkapi mekanisme KKFP yang bukan hanya menggabungkan kepakaran pelbagai agensi, tetapi turut bersedia untuk memanfaatkan kemajuan teknologi bagi memperkukuh ketelusan, meningkatkan kapasiti analitik, dan mempercepat tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Menurut beliau, lebih penting, KKFP akan berfungsi sebagai entiti pemangkin yang merangkumi pelaksanaan program latihan pensijilan, pembangunan modul forensik perakaunan, penghasilan laporan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh penggubal dasar dan pelaksanaan kajian kes berdasarkan siasatan sebenar.
“Mekanisme ini akan membuka ruang kepada pemindahan pengetahuan, penghasilan pangkalan data tipologi serta penubuhan repositori bersama yang boleh dimanfaatkan dalam operasi siasatan selain pendakwaan.
“KKFP bukan sekadar pelengkap struktur dasar antirasuah, ia berpotensi menjadi ‘game changer’ dalam landskap pengurusan integriti sistem kewangan negara. Mengapa? kerana buat julung kali, agensi penguatkuasaan, institusi kawal selia, entiti percukaian, badan profesional dan akademik berkumpul secara sistematik dan terancang untuk menangani fraud perakaunan daripada sudut pencegahan, pengesanan awal serta penyiasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd