ASPEK kecergasan pemain akan diberi keutamaan oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski apabila kem latihan fasa pertama skuad kebangsaan bermula di Johor Bahru hari ini.
Menurut pengendali kelahiran Australia itu, aspek tersebut sangat penting dalam fasa latihan kali ini kerana pemain baru sahaja menyertai kem latihan selepas berehat selama empat minggu.
Bagaimanapun, katanya, pemain tetap menjalani latihan secara individu bagi memastikan tahap kecergasan masing-masing tidak terjejas.
“Pemain tidak berehat sepenuhnya selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) berakhir, tetapi itu masih belum mencukupi. Saya dan barisan kejurulatihan akan terus memberi fokus kepada peningkatan tahap kecergasan sebelum memulakan latihan taktikal.
“Oleh itu, dalam senarai pemain yang dipanggil, kami turut membawa pemain bawah 23 tahun bagi mendapatkan pendedahan terbaik sepanjang latihan.
“Tambahan pula, mereka adalah harapan untuk skuad senior pada masa hadapan dan dalam masa terdekat ini mereka akan beraksi pada Pusingan Kelayakan Bawah 23 (B-23) Piala Asia pada September ini,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru, pada Isnin.
Untuk rekod, sembilan pemain bawah 23 tahun akan menjalani latihan bersama pemain senior, manakala barisan kejurulatihan skuad B-23 iaitu Nafuzi Zain, Hairuddin Omar dan Aidil Zafuan Abd Radzak turut terbabit dalam kem latihan kali ini.
Ketika ditanya mengenai langkah mengadakan tiga fasa dalam persiapan Harimau Malaya bagi menghadapi saingan menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini, Cklamovski menjelaskan bahawa beliau dan barisan kejurulatihan menitikberatkan peningkatan kualiti bola sepak negara melalui pelaksanaan program berfasa.
Katanya, setiap program yang dirancang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan masa dan perancangan yang berperingkat.
“Setiap perancangan harus diteliti dan bukan sekadar dilaksanakan secara tangkap muat, kerana jika teratur maka hasilnya akan memberi pulangan yang positif,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai pemanggilan dua pemain warisan, Fergus Tierney dan Muhammad Abu Halil, Cklamovski berkata, kedua-dua pemain tersebut menunjukkan prestasi baik ketika beraksi dalam saingan Liga Thailand.
Namun begitu, katanya, mereka masih perlu membuktikan kemampuan masing-masing dalam sesi latihan kali ini.
“Mereka tidak tersenarai pada sesi latihan Mac lalu… apa pun, diharapkan kehadiran mereka mampu memberi impak kepada skuad kebangsaan nanti.
“Dengan pengalaman beraksi di liga luar, mereka perlu tampil dengan lebih konsisten,” katanya lagi.