Mikel Arteta menyalahkan kad merah dan kecederaan sebagai punca kegagalan Arsenal merebut kejuaraan EPL. Foto AFP
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta, sekali lagi mengulangi alasan sama apabila mengulas prestasi pasukannya musim ini, dengan menuding jari kepada dua faktor utama iaitu kad merah dan kecederaan sebagai punca kegagalan mereka merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kini menjadi milik Liverpool.
Ketika saingan berbaki dua perlawanan, Liverpool sudah pun dinobatkan sebagai juara dengan kelebihan 15 mata ke atas Arsenal, menoktahkan saingan EPL lebih awal walaupun masih berbaki empat perlawanan.
Namun, di pihak Arsenal sebagai antara pencabar utama musim ini, Arteta terus melihat nasib pasukannya yang dikatakan malang akibat dibelenggu kecederaan pemain utama dan kad merah.
Dalam temu bual bersama Sky Sports, Arteta sekali lagi menyuarakan perkara sama.
“Kad merah dan kecederaan, sudah tentu. Tapi tanpa itu, kita tak tahu apa yang mungkin berlaku.
“Adakah kita akan lebih hampir (dengan kejuaraan)? Bagi saya, jawapannya tanpa ragu, ya. Berdasarkan prestasi yang kami tunjukkan musim ini,” katanya.
Walaupun faktor kecederaan sememangnya memberi kesan, Liverpool sendiri turut menghadapi masalah sama namun berjaya mengatasinya.
Bagi isu kad merah pula, statistik membuktikan wujudnya masalah disiplin dalam pasukan yang sehingga kini masih gagal ditangani Arteta dan sering dijadikan alasan.
“Kami perlu lakukan sesuatu yang berbeza musim depan kerana tahap persaingan semakin tinggi.
“Bila lihat jumlah mata yang kami kumpul dalam tiga musim terakhir dan masih belum menang liga, saya rasa itu sesuatu yang jarang berlaku.
“Kami sebenarnya sangat hampir. Jadi, kami perlu terus berada di landasan itu dan jadi lebih baik. Itu matlamat kami,” katanya.