‘Boikot bola sepak umpama anjing menyalak bukit’ – Exco Johor

‘Boikot bola sepak umpama anjing menyalak bukit’ – Exco Johor


TINDAKAN memboikot dan mengkritik Liga Bola Sepak Malaysia disifatkan sebagai usaha tidak berasas yang hanya akan merugikan masa depan sukan bola sepak tanah air.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, mutakhir ini semakin banyak kenyataan berbaur provokasi dan tohmahan dikeluarkan pihak tertentu termasuk cubaan mengheret Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam kancah kritikan.

“Lebih mendukacitakan apabila Tunku Mahkota Ismail turut dijadikan sasaran. Ini bukan sahaja tidak adil malah boleh menggugat ekosistem bola sepak profesional dan mampan yang sedang dibina di negara ini.

“Tunku Mahkota Ismail merupakan individu paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak negara melalui pelaburan peribadi dalam pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), struktur profesional, pembangunan akar umbi serta kemudahan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menjelaskan, antara pencapaian utama di bawah kepimpinan DYAM Tunku termasuklah kejayaan JDT menjuarai Piala AFC 2015 selain menjadi kelab pertama di Malaysia memiliki stadium sendiri bertaraf antarabangsa iaitu Stadium Sultan Ibrahim.

Tambahnya lagi, sistem kelab ‘feeder’ seperti JDT II dan JDT III juga terbukti sebagai model pembangunan bakat yang berjaya.

“Saya menegaskan bahawa tindakan mempolitikkan usaha Tunku Mahkota Ismail hanya akan merencatkan kemajuan bola sepak negara. Dalam dunia sukan moden, kita perlukan pemimpin yang berani dan berwawasan, dan Tunku Mahkota Ismail adalah contoh terbaik,” katanya.

Justeru, ADUN Larkin itu menyeru semua pihak termasuk persatuan negeri dan kelab untuk kembali kepada asas dan bekerjasama membina bola sepak negara secara bersama, bukannya saling menuding jari atau melakukan tindakan boikot yang akhirnya menghancurkan impian pemain serta peminat.

“Saya menyatakan sokongan padu kepada Tunku Mahkota Ismail dan menyeru seluruh komuniti sukan untuk bersatu di bawah semangat kesukanan dan profesionalisme,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail meluahkan rasa hairan apabila namanya sering dikaitkan dengan pelbagai isu dan perkara negatif meskipun tidak mempunyai sebarang kaitan langsung.

Dalam satu kenyataan di laman media sosial, baginda yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan beberapa contoh termasuk kes serangan asid terhadap pemain bola sepak Faisal Halim dan insiden pergaduhan di sebuah konsert muzik punk tempatan yang cuba dikaitkan dengan dirinya.

Menurut baginda, pengaruh yang dimilikinya dalam pelbagai bidang seperti bola sepak dan politik mungkin menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan sesetengah pihak.



Source link

OR

Scroll to Top