Tze Yong terfikir tamatkan karier

Tze Yong terfikir tamatkan karier


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengimbas bahawa dia pernah terdetik untuk menamatkan karier susulan kecederaan berpanjangan yang memaksanya menjalani dua pembedahan belakang tahun lalu.

Beliau mendedahkan bahawa selepas pembedahan kedua, keadaannya masih belum pulih sepenuhnya hingga mengundang kebimbangan mungkin kerjayanya berakhir pada usia muda.

“Sudah tentu (pernah terfikir untuk bersara). Sebab selepas dua pembedahan pun, kecederaan masih tak sembuh.

“Saya jadi keliru masa tu, sebab sudah buat semua yang doktor sarankan, tetapi kesakitan masih ada,” katanya.

Bagaimanapun ujar pemain berusia 25 tahun disebabkan minat mendalam terhadap sukan itu serta sokongan keluarga dan barisan kejurulatihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) mendorongnya untuk terus berjuang kembali ke gelanggang.

“Saya memang suka main badminton. Pernah berasa nak putus asa, saya pun tidak tahu, sebab saya masih nak main.

“Keluarga pun banyak sokong dan tak beri tekanan, itu bantu saya teruskan,” katanya.

Selepas hampir setahun menjalani proses pemulihan, Tze Yong membuat debut pada Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China bulan lalu diikuti Terbuka Taiwan, awal bulan ini dan Terbuka Thailand, minggu lalu.

Namun bukan seperti diharapkan, kesemua saingan tersebut menyaksikan dia tersingkir pada pusingan pertama.

Tze Yong bagaimanapun menjelaskan bahawa selepas tiga kejohanan tersebut dia merasakan prestasinya kian meningkat

“Rasa semakin baik setiap perlawanan. Selepas setiap aksi, saya lebih jelas apa yang perlu diperbaiki. Sekarang ni saya tak rasa sakit, sebab tu saya boleh buat semula aksi seperti dulu, termasuk melompat smash dan terjunan,” katanya.

Pemain yang berasal dari Johor itu kini memburu kemenangan pertamanya musim ini, namun bakal berdepan cabaran sukar menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long dalam aksi pertama Malaysia Masters pada Rabu.

“Saya memang mahu menang semua perlawanan, tetapi saya perlu fokus satu demi satu. Bagi kejohanan ini, saya akan beri segalanya,” ujar Tze Yong.

Mengimbas cabaran sepanjang proses pemulihan, dia berasa lebih matang dan tenang apabila berdepan tekanan di gelanggang.

“Dulu hanya fikir mahu menang sahaja. Tapi selepas kecederaan, saya belajar banyak perkara.

“Saya sedar bukan semua perlawanan perlu dimenangi dengan tergesa-gesa, tapi kena fokus pada kualiti permainan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top