Pengantin Hui cantik disangka foto AI

Pengantin Hui cantik disangka foto AI


Beijing: Seorang pengantin wanita dari etnik Hui di China menjadi tular selepas kecantikannya luar biasa membuatkan ramai netizen menyangka dia hanyalah imej ciptaan Kecerdasan Buatan (AI).

South China Morning Post (SCMP) melaporkan rakaman video perkahwinan yang berlangsung pada April lalu di wilayah Gansu, barat laut China, mencuri tumpuan ramai selepas dimuat naik jurugambar majlis berkenaan ke media sosial.

Dalam video berkenaan, pengantin wanita berusia 25 tahun itu tampil memakai selendang putih yang menutup rambut, telinga, leher dan bahu – pakaian tradisional yang dikaitkan dengan etnik Hui, sebuah komuniti Muslim di China.

Kecantikannya yang anggun membuatkan ramai penonton terpukau, malah ada yang bertanya sama ada wajahnya benar-benar wujud atau sekadar hasil grafik AI.

Tidak kurang juga yang menyamakannya dengan pelakon terkenal China, Fan Bingbing, dan mengesyaki dia menjalani pembedahan kosmetik.

Namun jurugambar perkahwinan itu tampil menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa pengantin itu adalah individu sebenar.

Katanya, masyarakat Hui secara tradisinya menolak prosedur kosmetik buatan, dan dia turut memuji kecantikan semula jadi wanita dalam keluarga pengantin berkenaan.

Tambah jurugambar itu lagi, pengantin wanita berkenaan jarang memakai solekan kerana lebih mementingkan kecantikan dalaman.

Nama pengantin tidak didedahkan kepada umum.

Sementara itu, sebahagian pengguna internet yang tidak biasa dengan budaya etnik minoriti di China mula mengenali pakaian tradisional mereka menerusi video tular seperti ini.

Etnik Hui yang berjumlah kira-kira 11.4 juta orang dalam bancian 2020 adalah kumpulan etnik keempat terbesar di China selepas Han, Zhuang dan Uygur.

Mereka tinggal secara meluas di seluruh negara, terutama di wilayah barat laut dan tengah seperti Ningxia, Gansu dan Shaanxi.

Ningxia juga menjadi wilayah autonomi khas bagi etnik Hui.

Menurut catatan sejarah, istilah “Hui” berasal daripada “Huihui”, gelaran kepada masyarakat Uygur yang tinggal di Barat China sekitar zaman Dinasti Song Utara (960–1127).

Ketika Dinasti Yuan (1279–1368), golongan Muslim dari Asia Tengah dan wilayah Barat yang berhijrah ke China juga dirujuk sebagai “Huihui”.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top