Muiz Hot Chicken terus kembangkan sayap ke Parit Raja

Muiz Hot Chicken terus kembangkan sayap ke Parit Raja


BATU PAHAT: Jenama makanan segera tempatan, Muiz Hot Chicken, terus mengorak langkah dalam industri makanan apabila merasmikan pembukaan cawangan keduanya di Parit Raja, Batu Pahat, pada 17 Mei lalu.  

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Mohd Farid Bin Kassim disertai pengasas jenama, Muhammad Muizzuddin, yang melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat diterima daripada pelanggan dan komuniti setempat. 

“Pembukaan cawangan kedua ini adalah satu pencapaian penting bagi kami dalam usaha mendekati lebih ramai pelanggan serta memperkenalkan hidangan yang bukan sahaja lazat, tetapi membawa nilai dan pengalaman istimewa,” katanya. 

Ruang lebih selesa, menu mesra keluarga 

Cawangan baharu ini menawarkan ruang makan lebih luas dan selesa, lengkap dengan dekorasi moden dan suasana mesra pelanggan. 

Antara menu popular yang ditawarkan termasuk Ayam Goreng Muiz, Plenty Patty Burger, Zappy Hot Burger, Bubur Muiz, serta pencuci mulut seperti aiskrim dan snek ringan.

Premis ini direka untuk memenuhi keperluan semua golongan pelanggan.

Bagi memeriahkan lagi sambutan pembukaan, Muiz Hot Chicken menganjurkan aktiviti ‘Spin Wheel’ khas untuk 100 pelanggan pertama dengan hadiah menarik seperti makanan percuma, baucar diskaun dan barangan eksklusif Muiz Hot Chicken.

Jenama ini turut melancarkan kempen ‘Cabutan Bertuah, Beli dan Menang’ bermula 17 Mei 2025 hingga 16 Jun 2025. 

Pelanggan yang membuat pembelian minimum RM100 dalam satu resit layak menyertai cabutan bertuah dengan lima unit motosikal baharu sebagai hadiah utama, selain baucar makanan dan barangan eksklusif.

Dalam usaha meluaskan penawaran menu, Muiz Hot Chicken turut mengumumkan pelancaran set hidangan Kids Meal yang dijangka berada di pasaran awal Jun 2025.

Hidangan ini direka khas untuk kanak-kanak, lengkap dengan mainan istimewa untuk menceriakan mereka.

Muiz Hot Chicken diasaskan pada tahun 2013 oleh Muhammad Muizzuddin, anak jati Muar, Johor dan ia mula dikenali dengan ayam goreng rangup dan burger premium bercirikan citarasa tempatan.

Cawangan pertamanya dibuka secara rasmi pada 1 Mei 2024 di Muar. Sejak itu, jenama ini berkembang pesat dengan komitmen menyajikan makanan berkualiti pada harga berpatutan.

Dengan visi menjadi antara jenama makanan segera terkemuka Malaysia, Muiz Hot Chicken terus berinovasi dalam penyediaan menu serta memperkukuh hubungannya bersama pelanggan di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, layari laman TikTok Muiz Hot Chicken. 

© New Straits Times Press (M) Bhd





Source link

OR

Scroll to Top