Belon tersangkut, sambutan hari lahir Uwais Al – Fateh bertukar tragedi

Belon tersangkut, sambutan hari lahir Uwais Al – Fateh bertukar tragedi


am@hmetro.com.my

Kulim: Kegembiraan menyambut ulang tahun kelahiran anak bertukar menjadi detik cemas buat seorang ibu apabila anak lelakinya hampir kehilangan nyawa gara-gara sebiji belon yang belum ditiup tersangkut dalam saluran pernafasan hingga menyebabkan jantungnya terhenti seketika.

Insiden yang berlaku di sebuah kediaman di Kulim itu dikongsikan Nurul Huda Zulkhairi, menerusi hantaran di laman Facebook miliknya semalam.

Menurut Nurul Huda, sambutan hari lahir yang dirancang dengan penuh kegembiraan bertukar menjadi saat yang paling menakutkan dalam hidupnya apabila anaknya, Uwais Al-Fateh, tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas sebelum tidak sedarkan diri.

“Pada mulanya, saya dan suami sibuk melayani tetamu, manakala Uwais bermain-main dengan kawan baiknya.

“Tidak lama kemudian, dia duduk di meja saya sambil minum air, kemudian berlalu pergi sambung bermain lari-lari dalam rumah,” katanya.

Nurul Huda berkata, keadaan mula mencemaskan apabila adik iparnya menyedari sesuatu yang tidak kena pada Uwais.

“Adik ipar (Zahidah) saya beritahu, ‘Uwais macam semput’. Suami saya pun terus ambil alat sedut memandangkan Uwais pernah ada asma.

“Tapi tiba-tiba, adik ipar seorang lagi (Nabil) berlari bawa anak saya kepada suami dalam keadaan badan yang sudah kebiruan. Ketika itu, jantungnya sudah berhenti,” katanya.

Menurut Nurul Huda, suaminya bersama seorang kenalan cuba memberikan bantuan kecemasan kerana menyangka Uwais tersedak makanan.

Katanya, beberapa teknik pertolongan cemas (CPR) dilakukan, namun masih gagal dan mereka bergegas membawa Uwais ke hospital.

Nurul Huda berkata, peluang untuk anaknya bernyawa kembali dianggarkan 50-50 memandangkan tiada lagi denyutan jantung ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Setibanya di hospital, doktor sedang bersedia untuk intubasi. Ketika itu, mereka ternampak ada belon di dalam saluran pernafasan Uwais.

“Doktor segera mengeluarkan belon tersebut dan terus lakukan CPR. Alhamdulillah, nyawa anak saya Allah SWT pulangkan kembali! “katanya penuh syukur.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang terbabit dalam menyelamatkan nyawa anaknya.

“Terima kasih kepada pasukan Unit Kecemasan Hospital Kulim dan juga Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah. Tindakan pantas mereka amat kami hargai,” katanya.

Menceritakan semula detik itu, Nurul Huda berkata insiden terbabit dipercayai berlaku ketika Uwais bergurau dengan rakannya sambil memasukkan belon ke dalam mulut ketika berlari, lalu tersedak dan tercekik.

Dalam hantaran terbaharunya, Nurul Huda memaklumkan bahawa keadaan Uwais kini stabil dari segi tekanan darah, denyutan nadi serta paras oksigen, namun anaknya masih dalam proses merehatkan otak.

“Uwais masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan menerima dua beg darah. Terdapat juga kesan pendarahan pada paru-paru, kemungkinan akibat teknik CPR yang dilakukan,” katanya.

Kisah itu mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan kesembuhan buat Uwais.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top