Sidang Kemuncak Asean ke-46 platform perluas produk tempatan

Sidang Kemuncak Asean ke-46 platform perluas produk tempatan


am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia berpotensi memperluaskan produk tempatan ke pasaran luar terutama negara Teluk menerusi Sidang Kemuncak Asean ke-46.

Buat pertama kalinya, negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain diberi penghormatan menyertai Sidang Kemuncak Asean ke-46.

Ketua Jawatankuasa Kecil Logistik, Media dan Publisiti Sidang Kemuncak Asean, Zamshari Shaharan berkata, banyak produk termasuk buah-buahan tempatan, kraftangan dan teknologi boleh diketengahkan di negara Teluk, selain negara Asean.

“Selain mesyuarat sempena Sidang Kemuncak Asean ke-46, kita adakan ruang pameran agensi kerajaan dan syarikat berkaitan menonjolkan produk yang mereka tawarkan kepada orang awam dan delegasi asing termasuk pegawai kanan dan menteri negara terbabit.

“Sesetengah produk sudah dikenali di negara Asean lain, tetapi yang menariknya acara kali ini ia libatkan penyertaan negara Teluk yang mampu menarik pelabur baharu dan memasarkan produk ke negara terbabit.

“Contohnya kita boleh bawa buah-buahan tempatan ke negara itu untuk dipasarkan, sekali gus membawa jenama Malaysia ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rerurai Jualan dan Pameran Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zamshari yang juga Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Negara berkata, 36 rerurai membabitkan 25 pempamer bertemakan The Heritech Malaysia yang menggabungan unsur warisan dan teknologi.

“Sebagai contoh, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) ada teknik penanaman sayur menggunakan kecerdasan buatan (AI) kerana tanah tidak mencukupi.

“Oleh itu, usaha Mardi perlu diketengah kerana mungkin ramai tidak tahu kita ada teknologi itu sebagai antara usaha menangani keterjaminan makanan yang menjadi isu di Malaysia ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, pameran selari dengan tema tahun ini iaitu keterangkuman dan kemampanan yang tidak meminggirkan sesiapa antaranya mempamerkan produk daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Pelbagai produk dipamer termasuk kraftangan tempatan, makanan dan minuman keluaran tempatan, perkhidmatan dan produk disediakan kerajaan Malaysia dan syarikat tempatan.

Selain itu, ada demonstrasi anyaman dan mencanting batik, aktiviti interaktif bersama Orang Asli, edaran cenderahati, promosi dan jualan produk tempatan, uji rasa produk makanan dan minuman tempatan serta simulasi dron.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top