BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila mara ke separuh akhir Malaysia Masters selepas menundukkan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, dalam pertarungan suku akhir pada Jumaat.
Gandingan pilihan keempat kejohanan itu tidak menghadapi masalah besar untuk menyingkirkan pasangan pilihan ketujuh itu dengan kemenangan straight set 21-10, 21-19 dalam masa hanya 36 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Seterusnya, juara Asia tersebut bakal berdepan ujian sebenar apabila bertemu penyandang juara kejohanan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, satu lagi pasangan dari Denmark yang sebelum ini menewaskan rakan senegara mereka, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-16, 22-20.
Mengulas mengenai pertemuan getir itu, Wooi Yik menyifatkan perlawanan menentang Astrup-Rasmussen sebagai satu cabaran yang menuntut persiapan rapi dan fokus maksimum, lebih-lebih lagi kerana mereka saling mengenali di atas gelanggang.
“Kami tahu ini bukan perlawanan mudah. Sejak awal kemunculan kami di pentas antarabangsa, kami sudah beberapa kali bertemu mereka dan masing-masing cukup arif dengan corak permainan satu sama lain.
“Ini juga pasangan yang kami temui di Sukan Olimpik Paris, jadi tiada lagi kejutan atau rahsia. Yang penting, bagaimana kami mengawal rentak permainan dan mengekalkan disiplin taktikal sepanjang perlawanan,” ujar Wooi Yik.
Bagi Wooi Yik, kunci kejayaan bukan semata-mata soal menang atau kalah, tetapi bagaimana mereka mampu mengeksekusi strategi dengan baik dalam tekanan tinggi, apatah lagi di pentas separuh akhir.
“Kami sedar setiap hari datang dengan cabaran tersendiri. Sebab itu kami akan turun dengan semangat juang dan tumpuan penuh untuk memberi persembahan terbaik.
“Secara jujurnya, kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Kini masanya untuk kami buktikan semuanya di atas gelanggang,” katanya.
OR