am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Kolaborasi antara Harian Metro, EZ Qurban Sdn Bhd dan Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (KOGURU) melaksanakan ibadah korban menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bakal memberi manfaat kepada 2,000 penduduk setempat.
Pengerusi KOGURU, Samsudin Ismail berkata, 10 ekor lembu akan dikorbankan pada program TKHM yang bakal diadakan di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit.
Menurutnya, daging korban akan diagihkan kepada asnaf di 44 kampung di mukim Batu Rakit selain diagihkan kepada penduduk setempat.
Katanya, selain itu ibadah korban melalui TKHM juga akan di adakan di Pulau Redang dan tiga ekor lembu akan di korbankan di sana yang bakal dimanfaatkan kira-kira 300 keluarga.
“KOGURU merupakan hab bagi EZ Qurban di pantai timur, justeru, sudah banyak lokasi yang sudah kita laksanakan ibadah korban sebelum ini bersama EZ Qurban. Seperti sedia maklum EZ Qurban menjalankan ibadah korban di 40 buah negara dan difahamkan tahun ini EZ Qurban mensasarkan 10,000 ekor ternakan akan dikorbankan sama ada di dalam mahupun di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan bersama wakil Ez Qurban dan Harian Metro di tapak program berkenaan di Batu Rakit, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ez Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin, Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban Hafesz Firdaus Toharudin dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz.
Menurutnya, bagi yang ingin melakukan ibadah korban boleh berhubung sama ada EZ Qurban ataupun KOGURU yang mana harga bagi korban di dalam negara iaitu RM765 satu bahagian manakala di luar negara pula serendah RM370 satu bahagian.
Beliau berkata, KOGURU mendapat 500 bahagian untuk ibadah korban di luar negara dan bagi kuota KOGURU penyertaan masih terbuka sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, beliau berterima kasih kepada KOGURU dan EZ Qurban kerana menganjurkan ibadah korban buat kali kedua pada tahun ini di kawasan berkenaan.
“Istimewanya penganjuran ibadah korban EZ Qurban dan KOGURU tahun ini melibatkan Harian Metro melalui TKHM.
“Lembu yang digunakan untuk ibadah korban dalam program kali ini diternak di Kampung Pecah Rotan Batu Rakit, justeru, ia memudahkan ibadah itu dilakukan secara setempat.
“Saya melihat program ini memberi manfaat dan impak lebih besar kepada penduduk setempat yang bakal mendapat agihan daging korban,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kepada sesiapa yang ingin melaksanakan ibadah korban boleh melalui saluran KOGURU yang bekerjasama dengan EZ Qurban.
Katanya, beliau difahamkan bahagian untuk tujuan korban masih lagi terbuka dan kita iaitu masyarakat diseru untuk sama-sama memberi sokongan kepada KOGURU dan EZ Qurban.
© New Straits Times Press (M) Bhd