BAM buat aduan keputusan kontroversi pengadil

BAM buat aduan keputusan kontroversi pengadil


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung beberapa keputusan kontroversi pengadil semasa perlawanan beregu lelaki negara antara Aaron Tai-Kang Khai Xing dan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Tiga keputusan yang dibuat ketika perlawanan pusingan kedua pada Khamis, khususnya pada mata-mata kritikal, disifatkan memberi impak besar terhadap keputusan serta keadilan permainan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, walaupun BAM menghormati peranan pegawai teknikal, adalah penting bagi BWF menjalankan semakan menyeluruh terhadap piawaian pengadilan.

“Keadilan dan integriti mesti dikekalkan dalam setiap perlawanan. Keputusan yang dibuat oleh pengadil, pada pandangan kami, jelas salah dan menafikan peluang pemain kami menikmati perlawanan yang adil.

“Pengadilan seperti ini bukan sahaja mempengaruhi keputusan perlawanan, malah turut merosakkan kredibiliti sukan badminton,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan bahawa aduan rasmi telah dihantar kepada BWF bersama bukti video dan dokumentasi perlawanan secara terperinci untuk semakan segera.

“BAM kekal komited menegakkan nilai-nilai kesukanan dan profesionalisme. Kami menyeru BWF agar mengambil tindakan segera serta telus untuk menangani perkara ini, sekali gus mengelakkan insiden serupa berulang dalam kejohanan akan datang,” ujarnya lagi.

Pasangan muda negara, Aaron-Khai Xing yang mara daripada pusingan kelayakan, bermula hambar apabila tewas 10-21 pada set pertama, sebelum bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 26-24. Mereka kemudiannya tewas 16-21 dalam pertarungan sengit selama 67 minit.

Pada set penentuan, pasangan negara yang ketika itu ketinggalan 12-14 mula menunjukkan aksi agresif, namun terganggu selepas pengadil dari Switzerland, Peter Meszaros menghadiahkan mata ke-15 kepada pihak lawan. Meszaros mendakwa bulu tangkis yang dipukul Kjaer dan kelihatan keluar, sebenarnya terkena telinga Aaron.

Keputusan tersebut mendapat bantahan daripada Aaron dan Khai Xing, sebelum suasana menjadi tegang apabila ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, dan jurulatih Muhammad Miftakh masuk ke gelanggang bagi mendapatkan penjelasan daripada pengadil.

‘Pertikaman lidah’ antara jurulatih dan pengadil menjadi semakin hangat apabila para penyokong yang tidak berpuas hati turut bersorak memberikan sokongan kepada pasukan negara.



Source link

OR

Scroll to Top