PERAK FC kini bergantung kepada bantuan kewangan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi melunaskan hutang tertunggak kepada pemain, jurulatih dan staf, selepas mengumumkan penghentian operasi serta-merta akibat masalah kewangan yang kritikal.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak pengurusan Perak FC menjelaskan bahawa kelab tersebut telah kehabisan dana selepas melaburkan lebih RM40 juta dalam tempoh tiga tahun terakhir.
“Pelaburan itu merangkumi usaha pembersihan hutang berjumlah RM8 juta yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu, serta peruntukan operasi tahunan sekitar RM10 juta.
“Buat masa ini, kami masih menguruskan peralatan latihan pasukan dan baki barangan niaga (merchandise) untuk dijual, serta menunggu dana daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi kegunaan menyelesaikan kewajiban yang tertunggak sebaik mungkin,” menurut kenyataan itu.
Perak FC mengakhiri saingan Liga Super 2024/25 di kedudukan ketujuh dengan mengumpul 30 mata hasil daripada lapan kemenangan, enam seri dan 10 kekalahan selepas mengharungi 24 perlawanan.
Sementara itu, skuad The Bos Gaurus turut mengumumkan langkah drastik termasuk menghantar pulang pemain import dan membayar apa yang termampu kepada staf serta pemain tempatan.
Namun menurut kelab berkenaan, baki tanggungan yang masih belum diselesaikan hanya mampu dilunaskan sekiranya menerima dana daripada MFL.
“Semua staf dan pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan untuk tidak menyertai sebarang pertandingan musim depan, menjadikan mereka kini bebas untuk mencari haluan baharu bersama kelab lain.
“Pengurusan turut menghargai sokongan penyokong setia Yob dan Yong atas dokongan yang tidak pernah putus, serta menzahirkan penghargaan kepada para pemain dan staf atas dedikasi mereka sepanjang mengharungi detik sukar bersama kelab,” jelas kenyataan itu lagi.
OR