KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak dalam ekosistem bola sepak tempatan yang didakwa masih gagal menghargai pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang lebih sedekad ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram rasmi baginda, TMJ menyifatkan, masih wujud mentaliti kolot dan penolakan terhadap pendekatan moden serta profesional yang diterapkan oleh kelab JDT sejak 12 tahun lalu.
“Kita tersekat dengan orang-orang bodoh yang tak dapat beza. 12 tahun pecah rekod dan cipta sejarah dalam dan luar padang. Tapi masih tak sedar,” titah Pemangku Sultan Johor itu lagi.
TMJ turut menyatakan bola sepak Malaysia dilihat tidak sehaluan dengan visi dan standard yang dibawa JDT, malah menyifatkan persekitaran bola sepak negara tidak bersedia menerima perubahan secara menyeluruh.
“Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT. Mereka patut kembali kepada mindset anak jati, Piala Malaysia lebih penting daripada liga dan tolak Piala AFC,” katanya.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada sikap sesetengah penyokong dan penggiat bola tempatan yang lebih mengagungkan kejayaan tradisional berbanding pembangunan kelab secara sistematik termasuk infrastruktur, pengurusan dan pembangunan akar umbi.
Baginda turut menzahirkan rasa kesal terhadap pandangan skeptikal yang masih menyelubungi JDT meskipun kelab itu telah mencipta pelbagai kejayaan termasuk menjuarai Piala AFC 2015 – satu-satunya pasukan Malaysia yang pernah melakukannya.
“Kita terlalu laju dan jauh ke depan berbanding mereka. Fakta tak pernah menipu,” titah baginda lagi.
Sejak ditubuhkan, JDT muncul sebagai kelab dominan dalam Liga Malaysia dengan fasiliti bertaraf antarabangsa seperti Stadium Sultan Ibrahim dan Akademi JDT di Iskandar Puteri.
Akademi tersebut juga dilihat sebagai pemacu utama pembangunan bakat muda negara.
Dalam nada sama, TMJ turut mengharapkan landskap bola sepak tanah air dapat berevolusi menjadi lebih moden dan profesional, selari dengan perkembangan bola sepak global. – Awani