Paris: Bintang remaja sensasi dari Rusia, Mirra Andreeva, terus mempamerkan peningkatan konsisten apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis dengan kemenangan straight set ke atas wakil Sepanyol, Cristina Bucsa, malam tadi.
Mirra, yang juga pilihan keenam kejohanan, tidak berdepan masalah menewaskan Cristina 6-4, 6-3 dalam tempoh satu jam 26 minit memperagakan dua ace dan memecahkan servis lawan sebanyak empat kali.
Pemain berusia 18 tahun itu yang pernah mengejutkan ramai dengan kemaraan ke separuh akhir Roland Garros tahun lalu, kini akan berdepan pemenang antara Ashlyn Krueger (Amerika Syarikat) atau Suzan Lamens (Belanda) bagi merebut slot ke pusingan ketiga.
Nama Mirra semakin disebut-sebut sejak kejayaan luar biasanya awal tahun ini apabila muncul sebagai juara termuda kejohanan WTA 1000 menerusi kemenangan di Dubai, Februari lalu.
Sebulan kemudian, pemain muda itu sekali lagi mencuri tumpuan dunia tenis apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, di final Indian Wells untuk meraih trofi elit keduanya musim ini.
Kini dengan keyakinan tinggi, Mirra tampak bersedia untuk sekali lagi mencabar kejuaraan di Paris dan terus mengukuhkan statusnya sebagai bintang masa depan tenis wanita dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd