Salah dedah hampir tergoda tawaran lumayan kelab Arab Saudi

Salah dedah hampir tergoda tawaran lumayan kelab Arab Saudi


LIVERPOOL – Mohamed Salah mendedahkan dirinya hampir menyertai Liga Pro Saudi pada musim panas ini sekiranya tidak menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool.

Penyerang berusia 32 tahun itu mengesahkan wujud perbincangan serius dengan pihak Liga Pro Saudi yang menawarkan peluang lumayan.

Pada 2023, kelab Al-Ittihad pernah mengemukakan tawaran sekitar 150 juta pound sterling (RM855 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Liverpool menolak tawaran tersebut, namun pada masa sama berdepan risiko kehilangan Salah secara percuma apabila kontraknya menghampiri tarikh tamat.

Bagaimanapun, Salah akhirnya menandatangani kontrak baharu selama dua tahun untuk kekal di Anfield selepas memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali kedua serta dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan.

“Ia satu peluang yang baik untuk saya. Jika saya tidak sambung kontrak dengan Liverpool, perpindahan itu mungkin berlaku. Hubungan saya dengan pihak Liga Pro Saudi sangat baik, kami berbincang dengan serius,” katanya.

Salah turut berterima kasih kepada penyokong Liverpool atas sokongan mereka yang mendorong kelab untuk mengekalkannya, walaupun polisi kelab cenderung untuk tidak menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain berusia lebih 30 tahun.

“Perbincangan itu panjang. Saya faham dasar kelab, dan kami capai titik persefahaman yang menggembirakan semua pihak.

“Tekanan daripada penyokong juga memainkan peranan. Saya tahu dari awal mereka mahu saya kekal, dan mereka bantu menjayakannya,” katanya.

Salah menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 29 gol dan turut mencatat 18 bantuan jaringan.



Source link

OR

Scroll to Top