KETERUJAAN skuad kebangsaan Harimau Malaya dalam mendapatkan pemain warisan untuk menyarung jersi negara bukanlah suatu perkara yang asing dalam arena bola sepak moden.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli bagaimanapun menegaskan bahawa usaha tersebut harus seiring dengan penelitian terhadap asal usul pemain berkenaan yang berhasrat mewakili Malaysia.
Menurutnya, siasatan itu meliputi latar belakang keturunan, generasi mereka, serta sama ada mereka masih mempunyai pertalian kekeluargaan di tanah air.
“Perkara ini penting bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya di media sosial pada masa depan. Hubungan warisan ini tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai jalan mudah untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
“Malah, sekiranya pemain berkenaan benar-benar mempunyai pertalian darah yang sah dengan waris di negara ini, adalah lebih baik jika usaha dilaksanakan untuk mempertemukan mereka. Sudah tentu hal ini akan membuka ruang kepada pemain tersebut untuk mengenali asal usulnya dengan lebih mendalam serta menjalin ikatan kekeluargaan dengan waris yang masih menetap di Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar.
Skuad Harimau Malaya pada ketika ini diperkuatkan pemain warisan seperti Dion Cools sedang mengharungi kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan layak ke saingan temasya yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
Tambah Pekan yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), pendekatan sebegini telah lama dipraktikkan negara lain, termasuk negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.
“Kaedah ini dibenarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan merupakan amalan biasa dalam kalangan negara yang mempunyai sejarah penjajahan. Hal ini membuka kemungkinan wujudnya pertalian darah dengan keturunan dari luar.
“Sejarah penjajahan Malaysia oleh lima kuasa asing Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam membuka ruang kepada kemungkinan wujudnya susur galur keturunan bercampur hasil daripada perkahwinan campur serta penghijrahan.
“Indonesia dijajah Belanda selama 350 tahun dan Filipina oleh Sepanyol lebih 330 tahun, Malaysia juga tidak terkecuali. Portugis menjajah Melaka selama 130 tahun, manakala kuasa penjajah lain turut meninggalkan kesan sejarah yang signifikan walaupun tempohnya lebih singkat,” katanya.
Pekan turut menekankan bahawa pemain warisan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kelayakan teknikal semata-mata, sebaliknya tegasnya, mereka juga perlu memahami dan menghayati semangat jati diri serta cintakan tanah air.
“Saya mencadangkan agar satu sesi temu duga atau pengenalan rasmi dilaksanakan untuk menilai tahap kefahaman patriotisme serta penguasaan budaya tempatan, termasuk lagu kebangsaan.
“Negara jiran turut melaksanakan sesi temu duga dan latihan jati diri kepada pemain warisan mereka. Ini penting supaya darah warisan yang mengalir dalam diri pemain tersebut adalah darah sejati, bukan sekadar hasil ‘dialisis’ untuk beraksi di pentas antarabangsa,” tegasnya.
Dalam masa sama Pekan juga mengingatkan pembangunan bakat tempatan perlu bergerak seiring dengan proses revolusi bola sepak negara dengan mengambil contoh Korea Selatan dan Jepun yang berjaya membina pasukan berpaksikan jati diri bangsa sendiri walaupun turut menyerap ilmu luar.
“Prinsip perkongsian ilmu dan pemindahan kepakaran amat dialu-alukan, namun harus ada batas dan kawalan. Jangan sampai kita terlalu ghairah sehingga meminggirkan bakat anak bangsa sendiri.
“Malaysia telah membuktikan kemampuan rakyatnya dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa, antaranya penjelajahan ke Gunung Everest, renangan merentas Selat Inggeris, dan ekspedisi ke Kutub Utara.
“Kejayaan ini mencerminkan kehebatan jati diri bangsa dengan semangat Malaysia Boleh. Maka, memperkukuh jati diri menerusi sukan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keutamaan,” katanya.