Selebriti TikTok dipenjara enam bulan

Selebriti TikTok dipenjara enam bulan


Abuja: Seorang selebriti TikTok terkenal Nigeria dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah kerana menabur wang kertas ketika berparti, satu amalan sambutan yang biasa di negara itu tetapi dilarang oleh undang-undang.

Murja Kunya, bintang TikTok dari bandar Kano di utara Nigeria yang mempunyai lebih sejuta pengikut, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Persekutuan di bandar berkenaan, menurut dokumen mahkamah.

Hakim Simon Amobeda turut memberi pilihan kepada Kunya untuk membayar denda sebanyak 50,000 naira (kira-kira RM134), serta mengarahkan beliau menjalankan kempen kesedaran dalam talian menentang penyalahgunaan wang kertas, memanfaatkan pengaruh besarnya di media sosial.

Kunya, 26, sering mencetuskan kontroversi dan menjadi perhatian pihak berkuasa di bandar konservatif itu yang majoritinya beragama Islam, kerana kandungan videonya yang dianggap tidak bermoral.

Video-videonya yang dianggap melampau itu menyebabkan dia beberapa kali ditahan dan dihadapkan ke mahkamah oleh polis syariah tempatan yang dikenali sebagai Hisbah.

Dia ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nigeria (EFCC) pada Januari lalu selepas tular video menunjukkan dia menabur wang kertas naira di sebuah bilik hotel iaitu satu perbuatan yang dianggap menghina mata wang negara dan dilarang mengikut undang-undang.

Walaupun diberikan jaminan pentadbiran, Kunya gagal hadir ke mahkamah dan menghilangkan diri sebelum ditangkap semula pada Mac lalu, selepas berminggu-minggu menjadi buruan EFCC.

Perbuatan menabur wang atau “spraying cash” adalah tradisi popular di majlis perkahwinan dan parti di Nigeria, tetapi sejak tahun lalu EFCC giat menguatkuasakan undang-undang 2007 yang melarang penyalahgunaan dan kerosakan mata wang naira.

Di bawah undang-undang itu, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan dan denda sebanyak 50,000 naira (RM156).

Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang turut menerima kritikan apabila didakwa hanya disasarkan kepada individu tertentu, termasuk selebriti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top