New York: Seorang bekas ketua polis di Arkansas yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan membunuh dan merogol, dapat meloloskan diri dari penjara pada Ahad minggu lalu, dan kini masih diburu pihak berkuasa.
Grant Hardin, 56, yang juga bekas ketua polis bandar kecil Gateway, dipercayai menyamar sebagai anggota penguat kuasa untuk keluar dari Penjara North Central Unit di Calico Rock, pada 2.55 petang, menurut Jabatan Pemulihan Arkansas.
CNN melaporkan jurucakap Jabatan Pemulihan Arkansas, Rand Champion berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi merungkai bagaimana banduan itu boleh meloloskan diri termasuk kemungkinan dibantu pihak tertentu.
“Imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Hardin memakai seluar dan baju-T hitam, topi besbol serta seakan jaket kalis peluru.
“Dia turut kelihatan menolak troli berisi kotak dan beberapa keping kayu, dipercayai keluar melalui ‘sally port’ iaitu laluan terkawal di kawasan penjara,” katanya.
Champion menjelaskan, ketika kejadian, hujan lebat dan cuaca itu sudah berlarutan selama beberapa hari sekali gus menyukarkan operasi pencarian walaupun anjing pengesan dan dron digunakan.
Selain itu katanya, keadaan muka bumi berbukit serta berbatu turut menambah cabaran pencarian.
Hardin yang menjalani hukuman sejak 2017, pernah berkhidmat sebagai pegawai dan ketua polis di beberapa kawasan termasuk Fayetteville, Huntsville dan Eureka Springs.
Dia turut mempunyai latar belakang sebagai pegawai pemulihan.
Rekod penjara menunjukkan Hardin sedang menjalani hukuman penjara selama 50 tahun membabitkan 30 tahun bagi kesalahan membunuh dan dua hukuman 25 tahun secara berasingan atas dua pertuduhan merogol.
Pada Februari 2017, Hardin mengaku bersalah membunuh James Appleton, pekerja jabatan air bandar Gateway, dengan menembak mangsa di kepala ketika memandu.
Dia turut mengaku bersalah pada 2019 atas dua tuduhan rogol selepas ujian DNA miliknya sepadan dengan kes rogol seorang guru sekolah pada 1997.
Sejak kejadian, lebih 100 anggota penguat kuasa termasuk persekutuan, negeri dan tempatan digerakkan bagi mengesan Hardin yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran penjara.
© New Straits Times Press (M) Bhd