Allegri kembali kendali AC Milan

Allegri kembali kendali AC Milan


BEKAS pengendali Juventus, Massimiliano Allegri diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu AC Milan, sekali gus menandakan kepulangan semula beliau ke San Siro selepas hampir sedekad meninggalkan kelab gergasi Serie A itu.

Pengendali berusia 57 tahun itu menggantikan Sergio Conceicao yang dipecat pada Khamis lalu selepas hanya enam bulan mengemudi skuad Rossoneri, susulan prestasi hambar musim ini yang menyaksikan Milan menamatkan saingan Serie A 2024/25 di tangga kelapan dan kecundang kepada Bologna dalam perlawanan akhir Piala Itali.

“Kelab mengalu-alukan kepulangan Massimiliano Allegri serta barisan kejurulatihannya, dan mengucapkan selamat maju jaya dalam tugasan baharu ini,” kata kelab ITU.

Pelantikan semula Allegri dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan kegemilangan Milan yang semakin merudum sejak menjulang gelaran Serie A terakhir mereka pada musim 2021/22 di bawah bimbingan Stefano Pioli.

Allegri bukan nama asing buat penyokong Rossoneri apabila sebelum ini mengemudi kelab dari Jun 2010 hingga Januari 2014, dan membawa Milan menjulang kejuaraan Serie A pada musim pertamanya, satu kejayaan yang menamatkan penantian sejak 2004, namun, selepas prestasi tidak menentu, beliau dipecat empat tahun kemudian.

Rekod Allegri sebagai pengurus tetap cemerlang khususnya ketika mengendalikan Juventus dari 2014 hingga 2019.

Sepanjang tempoh itu, beliau memenangi lima gelaran Serie A berturut-turut, serta membawa pasukan ke dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara, meskipun tewas kedua-duanya.

Selepas dua tahun berehat daripada dunia pengurusan, Allegri kembali ke Juventus pada 2021, namun gagal mengulangi pencapaian gemilang terdahulu dan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim 2023/24.

Sebelum mengukir nama bersama kelab gergasi Itali, Allegri memulakan kerjaya kejurulatihannya bersama beberapa kelab kecil termasuk Aglianese, SPAL, Grosseto, Sassuolo, dan Cagliari, yang membentuk asas kukuh kepada falsafah bola sepaknya hari ini.

Pelantikan semula Allegri mencetuskan harapan baharu dalam kalangan penyokong AC Milan, yang mahu melihat kelab kembali bersaing di pentas Eropah dan domestik.



Source link

OR

Scroll to Top